Oleh Chris Bishop
KUCHING, 27 Sept: Kerajaan menyalurkan peruntukan lebih RM9 juta kepada 160 Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJK) berstatus sekolah bantuan kerajaan (SBK) di Sarawak.
Timbalan Menteri Pendidikan Lim Hui Ying berkata, peruntukan tersebut adalah untuk memastikan kemudahan infrastruktur sekolah terlibat dinaik taraf demi keselamatan dan keselesaan murid-murid.
“Sebanyak 160 buah sekolah berstatus SBK telah membuat pemohonan dan semuanya telah diluluskan.
“Harapan saya agar semua semua sekolah yang menerima peruntukan ini dapat menggunakannya dengan optimum,” katanya ketika ditemui pada lawatan kerja ke SK Laksamana di Kuching hari ini.
Lim yang pada hari ini melawat empat buah sekolah disini turut berpuas hati dengan keadaan sekolah.
Namun katanya, ada beberapa sekolah memerlukan peruntukan yang lebih bagi kerja baikpulih.
Lim turut mengumumkan peruntukan keseluruhan sebanyak RM670,000 kepada tujuh buah sekolah yang dilawati beliau.
SJK Chung Hua No. 5 menerima peruntukan sebanyak RM100,000, SK Laksamana menerima RM100,000, SK St David Bumbok (RM50,000), SK Garland (RM100,000), SMK Green Road (RM100,000), SMK Bandar Kuching No. 1 (RM10,000) dan SJKC Sungai Apong sebanyak RM100,000. ā DayakDaily