Kerajaan pusat seharusnya menyediakan RM1 bilion bukan Sarawak, tegas Manyin

Manyin ketika ditemui pemberita di Kuching hari ini (April 8. 2019).
Advertisement

Oleh Chris Bishop

KUCHING, April 8: Menteri Pendidikan, Sains dan Penyelidikan Teknologi Dato Sri Michael Manyin terkejut dengan kenyataan Timbalan Menteri Pendidikan Malaysia Teo Ni Ching yang menggesa Sarawak menyediakan RM1 bilion secepat mungkin untuk tujuan membaikpulih sekolah daif.

Manyin dengan tegas mengatakan yang perkara berkaitan pendidikan dan sekolah adalah menjadi tanggungjawab kerajaan pusat.

Advertisement

“Kenyataan timbalan menteri pendidikan itu tidak tepat, sepatutnya kita (Sarawak) yang meminta dia menyediakan duit tersebut.

“Itu adalah kerana perkara berkaitan pendidikan adalah dibawah tanggungjawab kerajaan pusat dan bukan kita,” katanya.

Manyin berkata demikian ketika ditemui pemberita selesai majlis penganugerahan biasiswa Kolej Reng di SMK St Joseph hari ini.

Teo, sewaktu melakukan lawatan kerja ke SK Sebandi Matang di Kota Samarahan pada April 4 lepas, mengatakan yang kementerian belum menerima sebarang pinjaman daripada kerajaan negeri.

Teo menggesa agar bayaran dibuat dengan segera supaya kerja-kerja membaikpulih sekolah sekolah daif di negeri ini dapat dilakukan.

Mengulas mengenai persefahaman Kementerian Pendidikan dengan kerajaan negeri berhubung isu tersebut, Manyin mengatakan rundingan akan diteruskan.

Terdahulu kata Manyin, Menteri Pendidikan Dr Maszlee Malik telah pun bersetuju tawaran pinjaman RM1 bilion daripada Sarawak akan dianggap kontra kepada hutang negeri kepada kerajaan pusat.

“Ini telah dipersetujui dengan Kementerian Pendidikan dan kita dalam proses membentuk satu jawatankuasa bersama kementerian di Kuala Lumpur.

“Tetapi semasa pegawai kita bersama setiausaha kerajaan negeri menghadiri mesyuarat di Kuala Lumpur, mereka dimaklumkan yang kerajaan pusat tidak mahu perkara tersebut dianggap sebagai kontra.

“Sebaliknya, mereka mahu perkara tersebut dianggap sebagai pembayaran pendahuluan,” kata Manyin.

Disamping itu, Manyin berharap kerajaan Pakatan Harapan (PH) dapat melaksanakan tanggungjawab yang gagal dilakukan Barisan Nasional (BN).

Menurut beliau, mereka (pemimpin PH) telah pun melihat keadaan sekolah-sekolah daif di Sarawak dan seharusnya keadaan ini segera diperbetulkan.

“Selama ini, ramai menteri iaitu dari BN dan juga PH telah menyaksikan sendiri keadaan sekolah-sekolah daif di Sarawak dan mereka melahirkan rasa simpati.

“Tetapi setelah balik ke Kuala Lumpur, mereka lupa dan ini menyebabkan keadaan tidak berubah sehingga sekarang.

“Hanya perasaan simpati sahaja, tiada yang dilakukan,” tegas Manyin sambil mengatakan yang Sarawak mempunyai 1,020 sekolah daif yang mana 415 berada dalam keadaan kritikal. — DayakDaily

Advertisement