Kerajaan pusat digesa meneruskan projek yang diluluskan bagi kawasan jalan pesisir pantai

Julaihi (dua dari kanan) menyampaikan sumbangan kepada warga emas yang memerlukan.

KUCHING, Jun 7: Kerajaan Sarawak boleh bekerjasama dengan suasana harmoni dalam konteks sistem persekutuan dengan kerajaan pusat pimpinan Pakatan Harapan, demi kepentingan dan kesejahteraan rakyat Sarawak, kata Menteri Muda Jalan Pesisir, Datuk Julaihi Narawi.

Sehubungan itu, beliau berharap agar projek-projek yang diluluskan oleh kerajaan pusat di bawah pimpinan Barisan Nasional (BN) sebelum ini dapat diteruskan oleh kepimpinan kerajaan pusat yang baharu sekarang.

Katanya, antara projek tersebut adalah untuk kawasan jalan pesisir pantai seperti Jambatan Batang Lupar, Jambatan Igan termasuk Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sebuyau dan sebagainya.


“Saya berharap tidak ada pihak-pihak tertentu yang cuba mengganggu dan menghalang pelaksanaan pembinaan jalan pesisir ini melalui apa jua cara sekali pun.

“Jalan pesisir pantai amat penting untuk membuka dan membangunkan kawasan pesisir pantai supaya sosio ekonomi rakyat dapat ditingkatkan,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa menyampaikan ucapan bersempena majlis berbuka puasa, sembahyang maghrib, penyampaian bubur lambuk dan kurma serta penyampaian sumbangan kepada warga emas yang memerlukan di kampung-kampung di Pekan Sebuyau bertempat di Mardrasah Kampung Lot Baru, Sebuyau.

Julaihi yang juga ADUN Sebuyau menambah kerajaan negeri mempunyai inisiatif untuk melengkapkan pembinaan jalan pesisir pantai yang melibatkan kerja-kerja menaik taraf jalan pesisir pantai dari selatan hingga ke utara Sarawak.

Ia termasuk membina jaringan terputus (missing link) dan menganti semua kemudahan feri dengan membina jambatan-jambatan di sepanjang laluan jalan pesisir pantai. — DayakDaily