Kerajaan pertimbang tingkatkan harga lantai getah sekerap RM3 sekilogram

Dato Sri Fadillah Yusof

KUCHING, 28 Feb: Kementerian Perladangan Dan Komoditi akan memperhalus cadangan meningkatkan harga lantai getah sekerap kepada RM3 sekilogram.

Menterinya Dato Sri Fadillah Yusof berkata, cadangan itu akan disampaikan kepada kerajaan untuk pertimbangan dan tertakluk kepada kemampuan kewangan semasa.

Beliau menjawab soalan MP Baling Hassan Saad dan memaklumkan ia bertujuan bagi menyerap impak kejatuhan pendapatan para penoreh ketika ini, semasa Persidangan Parlimen Di Kuala Lumpur hari ini.


Menurut Fadillah, pada pembentangan Belanjawan 2023, kerajaan telah bersetuju menaikkan paras harga pengaktifan Insentif Pengeluaran Getah (IPG) daripada RM2.50 kepada RM2.70 sekilogram dengan peruntukan berjumlah RM350 juta.

“Selain itu, kerajaan turut menaikkan sumbangan musim tengkujuh pekebun kecil daripada RM600 kepada RM800 untuk tempoh empat bulan.

“Ini bagi meringankan beban ditanggung oleh 320,000 golongan berkenaan,” kata Fadillah.

Tambah beliau lagi, kerajaan telah melaksanakan IPG sejak tahun 2015 bertujuan untuk mengurangkan beban pekebun kecil ketika harga getah di pasaran rendah di samping menggalakkan mereka untuk terus menoreh. — DayakDaily