Kerajaan persekutuan segerakan usaha naik taraf stesen pemacar komunikasi di S’wak

Kelihatan Muhyiddin (kiri) ketika 'Sesi Balai Rakyat Wawasan Kemakmuran Bersama' di BCCK.

KUCHING, 1 April: Kerajaan persekutuan akan menyegerakan usaha untuk menaik taraf 1,209 stesen menara pemancar yang sedang dibangunkan di Sarawak.

Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata usaha itu yang sepatutnya bermula pada tahun hadapan akan diawalkan pada tahun ini.

Katanya, penyegeraan usaha tersebut penting dalam memastikan adanya berlaku lonjakan dalam ekonomi negara dan juga negeri.


“Sarawak tidak terasing dalam inisiatif ini dan ia menjadi sebahagian daripada komponen wilayah yang perlu kita segerakan juga.

“Terdapat 1,209 stesen pemancar iaitu menara yang patut dibangunkan akan dinaik taraf bermula tahun ini walaupun ia sepatutnya bermula pada tahun hadapan tetapi disegerakan untuk tahun ini.

“Ada tambahan 1,224 stesen pemancar yang telahpun dinaikkan taraf pada tahun 2020-2021 dan semua inisiatif ini merupakan pembiayaan secara komersial,” katanya ketika menghadiri ‘Sesi Balai Rakyat Wawasan Kemakmuran Bersama’ di Pusat Kovensyen Borneo Kuching di sini hari ini.

Beliau berkata, untuk pemberian perkhidmatan sejagat (PPS), liputan muda alih akan turut ditingkat daripada 73.6 peratus pada ketika ini kepada 90.71 peratus dalam tempoh setahun.

Katanya, peningkatan tersebut merupakan peningkatan yang drastik dilakukan oleh penyedia perkhidmatan bagi tempoh setahun.

Tambahnya, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) memperkukuhkan liputan komunikasi dan kesalinghubungan menerusi capaian jalur lebar melalui satelit kepada 523 lokasi dengan kelajuan 35Mbps.

“Infrastruktur ini dijangka akan siap menjelang Oktober tahun ini dan akan dapat dimanfaatkan sepenuhnya oleh semua lokasi terbabit.

“Semua ini berita ini merupakan berita baik untuk Sarawak kerana semua ini bergerak pantas untuk membolehkan isu pencapaian konunikasi ini dapat kita laksanakan dengan lebih segera lagi,” katanya

Terdahulu, dalam ucapannya, Muhyiddin berkata selaras dengan hasrat kerajaan mahu memperkasakan ekonomi digital, pembangunan kawasan-kawasan seperti Koridor Tenaga Diperbaharui Sarawak (Score) akan dipergiatkan bagi perlaksanaan projek pembangunan strategik.

Katanya, tumpuan juga turut diberikan kepada sektor-sektor lain yang berpotensi memacu pertumbuhan ekonomi termasuk sektor pertanian kormersial, perlancongan dan sumber tenaga boleh diperbaharui. — DayakDaily