KOTA SAMARAHAN, Mei 14: Kerajaan persekutuan yang baru di bawah pimpinan Pakatan Harapan (PH) diharap dapat meneruskan serta mempertingkatkan inisiatif pelan tindakan tentera darat yang telah dikendalikan di wilayah timur negara.
Panglima Medan Timur Tentera Darat Leftenan Jeneral Datuk Wira Mohd Zaki Mokhtar berkata pelan tindakan tersebut sangat penting untuk memastikan keselamatan dan keamanan di wilayah timur iaitu Sarawak dan Sabah dapat dikawal dan dijaga dengan baik, terutama membabitkan kawasan sempadan.
“Selama ini, kegiatan lintas batas di Sarawak dan Sabah adalah dikawal dengan baik oleh tentera darat.
“Saya berharap kepimpinan baharu kita nanti tidak akan leka terutama dalam menjaga sempadan di Malaysia Timur agar keselamatan dan keamanan rakyat di kedua-dua negeri ini terus terjamin,” katanya yang akan bersara pada penghujung Mei ini.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Perbarisan Penghargaan dan Jamuan Ringan sempena persaraannya, di Kem Muara Tuang di sini.
Mohd Zaki bertugas sebagai Panglima Divisyen Pertama Infantri Malaysia (1 Divisyen) selama tiga tahun bermula Julai 29, 2011, sebelum mengalas tanggungjawab selama empat tahun sebagai Panglima Pemerintahan Medan Timur Tentera Darat.
Menjelaskan mengenai keselamatan sempadan di Sarawak dan Sabah, beliau berkata setakat ini, ia adalah terkawal walaupun perbatasan melibatkan kedua-dua negeri ini adalah sangat luas dan mencabar.
Beliau menambah, ia juga hasil daripada kerjasama yang dijalinkan oleh Tentera Darat Malaysia (TDM) dengan Angkatan Darat Tentera Nasional Indonesia (TD TNI) di sempadan sepanjang lebih 2,000 kilometer, termasuk hubungan rapat dengan tentera Brunei Darussalam dan Filipina.
Dalam pada itu, Mohd Zaki berkata Pemerintahan Medan Timur juga sedang menubuhkan Pangkalan Hadapan serta menambah pos-pos gabungan dengan TD TNI bagi mempertingkatkan lagi kawalan keselamatan antara sempadan Sarawak dan Sabah dengan Indonesia. — DayakDaily