Kerajaan negeri terus usaha transformasi luar bandar — Uggah

Datuk Amar Douglas Uggah Embas

BETONG, Julai 1: Kerajaan negeri telah meluluskan peruntukan sebanyak RM34.5 juta untuk melaksanakan pelbagai projek pembangunan di bahagian Betong.

Timbalan Ketua Menteri Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata, daripada keseluruhan peruntukan itu, sebanyak RM20 juta telah diperuntukkan bagi tujuan pembangunan pertanian.

Menurut beliau, kerajaan juga memperuntukkan sebanyak RM2.5 juta bagi kerja-kerja penyambungan elektrik ke rumah-rumah baharu di bahagian berkenan.


“Sejumlah RM1 juta turut diperuntukkan bagi projek membaiki rumah penduduk miskin.

“Kelulusan peruntukan ini merupakan antara tumpuan kerajaan untuk memajukan kawasan luar bandar bagi memastikan pembangunan secara inklusif dinikmati rakyat di segenap lapisan,” katanya di Dewan Serbaguna Masyarakat Spaoh semalam.

Terlebih dahulu beliau menghadiri Majlis Rumah Terbuka Hari Gawai dan Hari Raya Aidilfitri Bukit Saban 2018.

Uggah menambah, justeru pelbagai usaha dirangka oleh kerajaan negeri menerusi jabatan berkaitan dalam usaha mentransforma­sikan kawasan luar bandar.

Katanya, antara satu harapan kerajaan negeri ialah untuk merapatkan jurang antara penduduk di kawasan bandar dan luar bandar.

“Sebagai kerajaan yang prihatin dengan masyarakat luar bandar, kita sentiasa mahu menjadikan kawasan luar bandar lebih kondusif untuk didiami.

“Antara usaha ke arah itu ialah de­ngan menyediakan pelbagai aksesibiliti dan kemudahan seperti di kawasan bandar,” ujarnya.

Sambil menambah, beliau memberitahu, kerajaan negeri juga sentiasa berusaha merangsang ekonomi luar bandar dengan mencipta lebih banyak peluang pekerjaan. — DayakDaily