Kerajaan Negeri tanggung keseluruhan kos Jalan Pesisir Sarawak

Julaihi (tengah) bersama Safri (kanan) menunjukan cadangan Jambatan Batang Lupar pada sidang media.

Oleh Chris Bishop

SEBUYAU, 20 Feb: Pembinaan jalan pesisir Sarawak sepanjang 896 km yang membabitkan kos RM5 bilion ditanggung sepenuhnya oleh Kerajaan Negeri.

Menteri Muda Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan Datuk Julaihi Narawi berkata, ia melibatkan pembinaan semua jambatan di laluan tersebut termasuk Jambatan Batang Lupar yang bernilai RM848 juta.


“Pembinaan jalan pesisir ini melibatkan tiga komponen iaitu pertama, kita membina semua jambatan untuk menggantikan perkhidmatan feri.

“Kedua, kita bina ‘missing link’ iaitu yang tiada jalan raya termasuk jambatan kita bina dan ini pun ditanggung oleh kerajaan negeri.

“Ketiga, kita menaiktaraf jalan pesisir yang ada sekarang. Maknanya, keseluruhan pembinaan dan usaha untuk melengkapkan jalan pesisir di Sarawak 100 peratus ditanggung oleh kerajaan negeri,” katanya.

Julaihi berkata demikian pada sidang media selesai tinjauan ke tapak projek Jambatan Batang Lupar di sini, hari ini.

Jelas Julaihi, kerajaan turut menanggung sepenuhnya kos pembinaan Jalan Utama kedua Sarawak.

Katanya, kerajaan negeri komited untuk memberi kemudahan perhubungan yang lebih baik kepada rakyat.

“Contohnya di musim perayaan, kita lihat kenderaan berbaris panjang di feri-feri di seluruh negeri.

“Kita harap semua ini akan menjadi sejarah dengan terbinanya kesemua jambatan dan inilah sumbangan kerajaan kepada rakyat Sarawak,” ujar beliau.

Turut hadir Setiausaha Tetap Kementerian Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan Datuk Safri Zainudin. — DayakDaily