Kerajaan negeri sedia mengambil alih projek menaiktaraf Jalan Penrissen Lama jika perlu

Abang Johari hadir bersama ribuan masyarakat di Perayaan Authentic Gawai 2019 di Kampung Pichin, Serian semalam (Jun 29, 2019).

Oleh Chris Bishop

SERIAN, Jun 30: Kerajaan negeri sedia mengambil alih projek menaiktaraf Jalan Penrissen (Padawan) sekiranya kerajaan pusat tidak menyalurkan dana.

Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg berkata komitmen tersebut adalah untuk menunaikan janji yang telah diberikan kepada rakyat.

“Kita dalam Gabungan Parti Sarawak (GPS) kalau kata bantu, kita akan tunaikan.

“Kalau hendak buat Jalan Penrissen Lama yang di pinta Adun Tarat Datuk Roland Sagah, kita akan sediakan duit jika kerajaan pusat tiada duit.

“Ini janji dan komitmen apabila kita ada dasar untuk bangunkan kawasan masing-masing,” katanya.

Beliau berkata demikian di Majlis Perasmian Authentic Gawai 2019 di Kampung Pichin, Serian semalam.

Tambah Abang Johari, kerajaan ada perancangan untuk membangunkan setiap kawasan di negeri ini tetapi ianya memerlukan masa untuk dilaksanakan dan meminta rakyat agar bersabar.

Pada majlis tersebut, beliau turut menyerahkan 246 surat hak milik Tanah Hak Adat Bumiputera (NCR) masyarakat Bidayuh.

Abang Johari (tiga dari kanan) menyerahkan 246 surat hak milik tanah NCR kepada Penghulu Dennis Gamin (dua dari kiri) dan KK Kampung Pichin Rioi Lagit (kiri).

“Ini adalah hasil kerja penyukatan dan usaha Persatuan Dayak Bidayuh Kebangsaan (DBNA).

“Dengan bukti yang ada kita keluarkan surat hak milik tanah, kita iktiraf tanah NCR,” tegas Abang Johari.

Justeru, beliau menggesa semua pemilik tanah NCR membangunkan tanah tersebut dengan amalan pertanian moden.

Selain diusahakan dengan tanaman padi, beliau menyarankan para petani mencuba tanaman yang boleh menjana pendapatan seperti nenas.

“Saya menyeru masyarakat Dayak di luar bandar agar tidak menjual tanah ini tetapi sebaliknya diusahakan dengan tanaman yang boleh menjana pendapatan lebih.

“Tanah adalah aset dan kita ada orang muda yang memiliki ilmu, teknologi, (pengetahuan) fertigasi dan ‘Internet of Things (IoT)’,” katanya.

Turut hadir Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Douglas Uggah, Timbalan Speaker DUN Datuk Gerawat Gala, Menteri Pendidikan, Sains dan Penyelidikan Teknologi yang juga Pengerusi Penganjur Majlis Dato Sri Michael Manyin. — DayakDaily