Kerajaan negeri meluluskan RM850,000 untuk membina lampu isyarat, lorongan beratur di Batu Kitang

Lo (empat dari kiri) bergambar dengan wakil JKR dan pemimpin Kampung Semaba ketika mengadakan lawatan ke kampung itu bagi meninjau tapak pembinaan sebuah lampu isyarat di simpang Jalan Stephen Yong-Jalan Kampung Semeba, Batu Kawa.

KUCHING, Mac 5: Kerajaan negeri telah meluluskan peruntukan keseluruhannya sebanyak RM850,000 bagi melaksanakan projek membina lampu isyarat dan lorongan beratur bagi mengurangkan masalah kemalangan dan kesesakkan lalulintas di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Batu Kitang tahun ini.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Kitang, Lo Khere Chiang berkata sebanyak RM650,000 adalah bagi projek membina lampu isyarat di persimpangan Jalan Datuk Stephen Yong-Jalan Kampung Semeba dan RM200,000 bagi menjalankan projek membina lorong beratur di simpang Lorong 1 Jalan Kuching-Bau.

“Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg yang meluluskan peruntukan terbabit dengan kedua-dua projek dijangka bermula hampir sama pada hujung April depan dan dijangka siap hujung September depan,” katanya ketika mengadakan lawatan ke tapak projek tersebut bersama wakil JKR dan pemimpin kampung di Kampung Semeba, Jalan Stephen Yong, Batu Kawa, di sini, hari ini.


Lo berkata projek lampu isyarat di persimpangan Jalan Datuk Stephen Yong-Jalan Kampung Semeba adalah penting bagi memudahkan hampir 1,500 penduduk kampung itu keluar masuk mengunakan kenderaan dari Jalan Datuk Stephen Yong yang sesak ketika waktu puncak.

“Malahan komuniti dan pemimpin Kampung Semeba yang memohon lampu isyarat ini dan saya memohon peruntukan kewangan projek pembinaannya dari kerajaan negeri serta meminta Jabatan Kerja Raya (JKR) menyediakan pelan reka bentuk projek,” katanya.

Tambah beliau, projek membina lorong beratur di simpang Lorong 1 Jalan Kuching-Bau juga penting kepada penduduk DUN itu kerana simpang tersebut bukan sahaja sesak tetapi juga sempit serta sudah kerap berlaku kemalangan disana.

Lo berkata selain dua projek itu, bagi mengelakkan kemalangan jalan raya, tahun lepas Ketua Menteri juga telah meluluskan sebanyak RM2.7 juta bagi projek lampu jalan bagi DUN Batu Kitang yang sudah siap pemasangannya dari Kampung Haji Baki ke Kampung Bunga Rampai dan dari Jalan Datuk Stephen Yong ke simpang Kampung Bumbuk.

“Sehubungan itu saya berharap penduduk DUN Batu Kitang tidak lupa menyokong Ketua Menteri dan Gabungan Parti Sarawak (GPS) kerana tidak ada sesen pun duit projek ini dari kerajaan pusat, tapi setiap sen dari kerajaan negeri,” katanya. — DayakDaily