Kerajaan merancang membina 7 jambatan utama menghubungkan jalan pesisir pantai

Datuk Julaihi Narawi (kiri) menerima cenderahati dari ADUN Stakan, Datuk Seri Mohammad Ali Mahmud (dua dari kiri) ketika merasmikan Mesyuarat Perwakilan Cawangan Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) N.17 Stakan.
Advertisement

KUCHING, 11 Dis: Kerajaan negeri ketika ini sedang giat mengenalpasti tapak dan membuat pelan reka bentuk untuk sebanyak tujuh lagi jambatan utama yang perlu dibina bagi menghubungkan jalan pesisir pantai dari selatan hingga utara negeri ini.

Menteri Muda Jalan Pesisir, Datuk Julaihi Narawi berkata tujuh jambatan terbabit ialah Jambatan Rambungan, Jambatan Batang Lupar, Jambatan Batang Saribas, Jambatan Sungai Krian, Jambatan Muara Lassa, Jambatan Batang Paloh dan Jambatan Bintulu/Jepak/ Kuala Kemena.

“Kami sedang membuat pelan reka bentuk bagi Jambatan Batang Lupar yang akan sepanjang lima kilometer dan bakal menjadi terpanjang di negeri ini. Jambatan terbabit akan menghubungkan Sebuyau dengan Triso,” katanya ketika merasmikan Mesyuarat Perwakilan Cawangan Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) N.17 Stakan di Penview Convention Centre Demak, Jalan Demak, di sini, semalam.

Advertisement

Julaihi yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sebuyau dan Naib Presiden PBB berkata pelan jambatan itu telah ditunjukkan kepada pihaknya di Kementerian Pembangunan Infrastruktur dan Pengangkutan Sarawak bagi mengenalpasti tapaknya dan kerajaan juga sudah meluluskan pembinaan jambatan ini yang 50 peratusnya kos akan ditanggung kerajaan negeri dan 50 peratus lagi ditanggung kerajaan pusat.

“Selain itu, kami juga sedang berusaha mengenalpasti tapak lokasi bagi membina Jambatan Saribas, Jambatan Sungai Krian, Jambatan Muara Lassa, Jambatan Batang Paloh dan Jambatan Bintulu/Jepak/ Kuala Kemena yang semuanya juga akan panjang kerana melintasi sungai yang amat lebar,”katanya.

Selain mengunakan jalan darat, pihaknya bersama rombongan wakil rakyat dan kakitangan Jabatan Kerja Raya (JKR) Sarawak dan agensi kerajaan lain turut mengunakan bot bagi mengenalpasti dan meninjau tapak lokasi sesuai membina kesemua jambatan terbabit di sepanjang sungai negeri ini yang kebanyakkanya amat lebar di pesisir pantai.

“Ini seperti bagi mengenalpasti tapak membina Jambatan Muara Lassa dan Jambatan Batang Paloh dengan kami terpaksa mengunakan bot dari Sibu sehingga ke perairan sekitar Pulau Bruit berikutan keadaan sungai sangat lebar di pesisir pantai dan kerja meninjau tapak itu tidak dapat dilakukan dengan mudah,” katanya.

Sehubungan itu, beliau meminta penduduk pesisir pantai negeri ini bersabar menunggu pembinaan tujuh jambatan terbabit kerana kerajaan akan pasti membinanya berikutan kawasan pesisir pantai dan luar bandar negeri ini adalah kubu kuat PBB dan Barisan Nasional.

Datuk Julaihi Narawi (tengah) bersama ahli parti PBB yang menghadiri Mesyuarat Perwakilan Cawangan Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) N.17 Stakan.

Julaihi berkata ketika ini Jambatan Batang Sadong antara jambatan utama menghubungkan jalan pesisir pantai negeri ini yang sudah siap dibina manakala Jambatan Batang Samarahan pula sudah sehingga 85 peratus siap dibina dan dijangka siap sepenuhnya tahun hadapan.

Komponen utama rangkaian jalan pesisir negeri ini merangkumi pembinaan Jambatan Batang Rambungan, Jambatan Batang Igan, Jambatan Batang Lupar, Jambatan Batang Rajang, Jambatan Batang Saribas, Jambatan Sungai Krian, Jambatan Batang Paloh, Jambatan Muara Lassa, Jambatan Bintulu/Jepak/ Kuala Kemena.

Menteri Pembangunan Infrastruktur dan Pengangkutan Sarawak, Tan Sri James Jemut Masing sebelum ini pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) yang lepas berkata pembinaan jalan pesisir dijangka bermula pertengahan tahun depan dan akan dimulakan dengan projek jambatan Sungai Krian.

Masing berkata, tempoh pembinaan bakal mengambil masa lima tahun termasuk semua jambatan di sepanjang rangkaian jalan pesisir dan projek terbabit akan dilaksanakan sendiri kerajaan negeri. — DayakDaily

Advertisement