Kerajaan luluskan pengambilan 400 juruukur — Abang Johari

Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg

Oleh Chris Bishop

KUCHING, 17 Sept: Kerajaan meluluskan pengambilan seramai 400 juruukur yang akan diserapkan ke Jabatan Tanah Dan Ukur (JTS).

Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, ia bagi mempercepatkan kerja-kerja pengukuran sekaligus memastikan semua perancangan dilaksanakan dengan baik.


“Juruukur kita hendak tambah 400 orang di jabatan kerajaan JTS menjelang tahun 2030.

“Pihak swasta juga perlu menambah jumlah juruukur kerana kerajaan akan melantik pihak swasta untuk melakukan kerja-kerja ukur,” katanya.

Beliau berkata demikian di Majlis Penutupan Hari Inovasi Dan Integriti Tanah Dan Survei 2022 di sini, malam ini.

Menurut Abang Johari, Sarawak kini sedang giat membangunkan kawasan perumahan dan komersial bagi memenuhi permintaan yang semakin meningkat.

Katanya, ini disebabkan peningkatan pelaburan luar yang memerlukan perumahan untuk pekerja selain keperluan kawasan komersial.

“Semua pembangunan (perumahan dan komersial) ini memerlukan juruukur dan kita juga sedang membangunkan kawasan luar bandar.

“Kita meneruskan kerja-kerja ukur tanah NCR dan membangunkan kawasan untuk pertanian.

“Bermakna menjelang 2030 dengan perancangan ini kita memerlukan ramai juruukur, ” kata Abang Johari. — DayakDaily