Kerajaan lulus Pelan Induk Rangkaian Ekologi Central Forest Spine – PM

Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob

KUCHING, 20 Julai: Mesyuarat Majlis Perancang Fizikal Negara (MPFN) Ke-40 hari ini bersetuju meluluskan Pelan Induk Rangkaian Ekologi Central Forest Spine (PIRECFS).

Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, ia dijadikan sebagai panduan perancangan serta pembangunan fizikal dan hutan bagi seluruh Semenanjung Malaysia.

“PIRECFS ini merupakan satu inisiatif untuk menghubungkan lapan kompleks hutan utama negara yang melibatkan lapan negeri iaitu Kedah, Perak, Kelantan, Terengganu, Pahang, Johor, Selangor dan Negeri Sembilan.


“Ia bagi memelihara kawasan-kawasan hutan di Semenanjung Malaysia agar wujud satu rangkaian fizikal hutan yang bersambungan di seluruh kawasan CFS, ” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut Ismail Sabri, Pelan induk ini juga telah mengenal pasti 39 rangkaian ekologi bagi menghubungkan kawasan hutan atau pulau hutan yang tidak bersambungan ekoran berlakunya pemisahan dan pengasingan hutan.

Katanya, ia bagi mengurangkan konflik antara manusia dan hidupan liar dengan memastikan laluan semulajadi hidupan liar dari satu kawasan hutan ke hutan yang lain tidak terhalang dengan aktiviti pembangunan.

“Melalui pelaksanaan pelan induk ini, komitmen negara untuk mengekalkan 50 peratus kawasan litupan hutan sepertimana yang dipersetujui semasa Sidang Kemuncak Bumi di Rio de Janeiro pada 1992 akan dapat direalisasikan.

“Perkara ini boleh dicapai melalui komitmen bersama di antara Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan-Kerajaan Negeri, ” ujar Ismail Sabri. — DayakDaily