Oleh Kadir Edison
KUCHING, 21 Jan: Kerajaan Negeri pimpinan Gabungan Parti Sarawak (GPS) memperuntukan lebih RM3 bilion bagi tunjuan Bantuan Khas Sarawakku Sayang sejak perlaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan pada Mac tahun lepas.
Menurut Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg, BKSS 5.0 yang diumumkan hari ini melibatkan peruntukkan sebanyak RM405 juta.
“Kerajaan GPS Sarawak sebelum ini melalui BKSS 1.0 hingga BKSS 4.0 telah memeperuntukkan sebanyak RM 2.6 bilion dan peruntukkan hari ini berjumlah RM405 juta.
“Keseluruhan peruntukkan BKSS kini berjumlah lebih RM3 bilion yang merangkumi bantuan untuk semua lapisan masyarakat termasuk individu persendirian dan pihak swasta,” katanya ketika menjawab pertanyaann diajukan oleh DayakDaily pada sidang media khas pengumuman BKSS 5.0 melalui aplikasi Zoom Meeting hari ini.
Beliau berkata BKSS 5.0 diberikan berdasarkan rebat atau diskaun yang meliputi pengguna domestik, industri dan kormersil.
Katanya, ini sedikit berbeza berbanding bantuan sebelum ini memandangkan Sarawak kini berada dalam situasi Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).
“Bagi Bantuan BKSS sebelum ini, ianya diumumkan ketika kita berada dalam PKP dan sekarang ialah PKPB yang bermakna sektor ekonomi masih berjalan dan hanya mereka tidak boleh bergerak di luar daripada zon mereka sendiri,” katanya.
Abang Johari menjelaskan bahawa 11 langkah yang diumumkan dalam BKSS 5.0 hari ini bertujuan untuk mengurangkan kos pengoperasian yang perlu ditanggung oleh pengguna domestik, industri dan komersial.
Katanya, situasi ini sedikit sebanyak akan dapat membantu dalam memperkasakan sektor ekonomi dengan meningkatkan tahap kelangsungan dan kebolehsaingan mereka ketika berhadapan dengan kelembapan ekonomi akibat Covid-19.
Antara 11 langkah dalam BKSS 5.0 termasuk pemberian diskaun untuk pembayaran bil elektrik, bil air, cukai tanah, sewa Skim Perumahan Perbadanan Pembangunan Perumahan Sarawak (HDC), taksiran cukai pintu dan bayaran sewa pasar serta gerai.
“Dalam keadaan yang sukar sekarang ini, Kerajaan GPS Sarawak sentiasa memikir dan melaksanakan langkah-langkah terbaik untuk membantu rakyat.
“Kerajaan Negeri berharap Pakej Bantuan Khas Sarawakku Sayang 5.0 yang berjumlah RM405 juta ini akan membantu meringankan beban seluruh rakyat Sarawak hingga ke bulan Jun dan kita juga berharap dan berdoa agar dengan adanya vaksin, penularan Covid-19 dapat diatasi selepas Jun 2021,” katanya. — DayakDaily