KUCHING, 17 Okt: Kerajaan negeri akan membentangkan belanjawan atau bajet negeri 2020 yang baik kepada rakyat Sarawak pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) di sini, bulan depan.
Menteri Pelancongan, Kesenian, Kebudayaan, Belia dan Sukan, Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah memberikan bayangan mengenai bajet tersebut setelah butirannya dibincangkan dengan Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg dalam mesyuarat kabinet negeri semalam.
“Kami (kerajaan negeri) telah berbincang banyak perkara (di dalam mesyuarat kabinet negeri semalam) termasuk bil bekalan bajet (negeri 2020) dan akan menjadi bajet yang baik,” katanya selepas melawat persiapan acara larian lasak Spartan Race Sarawak 2019 di Institut Kepimpinan Perkhidmatan Awam Sarawak di KM20 Jalan Kuching-Serian, di sini, hari ini.
Abdul Karim bagaimanapun enggan memberikan sebarang butiran perkara dalam bajet negeri 2020 dan menyerahkan kepada Ketua Menteri bagi membentangkan butiran itu pada persidangan DUN bulan depan.
“Biarlah Ketua Menteri yang membentangkannya, selepas itu kita melihatnya, tetapi memang akan menjadi bajet negeri yang baik dan kami sentiasa menghasilkan bajet yang baik,” katanya.
Pada persidangan DUN Sarawak November tahun lepas, kerajaan negeri mengumumkan bajet 2019 sebanyak RM11.91 bilion, jumlah yang tertinggi dalam sejarah.
Dalam bajet 2019, kerajaan negeri memperuntukkan RM9.07 bilion, khusus untuk perbelanjaan pembangunan dan RM2.84 bilion diperuntukkan bagi perbelanjaan operasi.
Sementara itu, mengenai acara larian lasak Spartan Race Sarawak 2019, Abdul Karim mendedahkan seramai 2,837 orang disahkan akan menyertai perlumbaan larian lasak itu pada Okt 19 dan 20 depan.
“Ia boleh melebihi 3,000 orang peserta kalau tidak kerana jerebu sebulan yang lepas. Kami hampir membatalkan acara ini tetapi Jabatan Meteorologi memberi ramalan yang arah angin akan berubah dan kami memutuskan untuk tidak membatalkan acara ini,” katanya.
Beliau mendedahkan ramai peserta dari luar negara juga menyatakan kebimbangan mereka untuk datang ke negeri ini kerana cuaca berjerebu bulan lepas dan telah membatalkan penyertaan mereka.
“Tetapi seramai 2,837 peserta juga adalah jumlah yang baik bagi penganjuran pertama kali larian ini di Sarawak,” katanya, dengan menambah kenyataan bahawa seramai 65 peratus peserta terbabit datang dari luar negara dan ramai dari Singapura. — DayakDaily