Kerajaan diminta jelas perancangan menangani pengangguran akibat Covid-19

Dr Kelvin Yii

KUCHING, 18 Mei: Ahli Parlimen Bandar Kuching, Dr Kelvin Yii meminta kerajaan menjelaskan perancangan bagi menangani masalah rakyat negara ini yang akan hilang pekerjaan akibat pandemik Covid-19.

Katanya ini berikutan Institut Penyelidikan Ekonomi Malaysia (MIER) meramalkan seramai dua juta rakyat negara ini akan hilang perkerjaan akibat pandemik CovidD-19 dan data terbaharu juga mendedahkan kadar pengangguran telah meningkat dari 2.3 peratus pada Januari lepas kepada 2.9 peratus Mac lepas.

“Jadi kita akan melihat lebih banyak pengangguran dalam beberapa bulan yang akan datang. Apakah perancangan kerajaan bagi menangani perkara ini,” kata beliau ketika membuat kenyataan secara langsung di laman Facebooknya hari ini.


Dr Kelvin berkata bukan sahaja pengangguran domestik malahan ramai rakyat Malaysia yang bekerja di luar negara juga bakal kehilangan pekerjaan mereka dan kembali ke negara ini.

Selain itu, beliau juga meminta Kementerian Pendidikan menjelaskan bagaimana memastikan pelajar sekolah di Sarawak dan Sabah tidak ketinggalan dalam pembelajaran melalui internet berasaskan di rumah ketika sekolah ditutup.

“Saya menyokong sekolah ditutup dan mempromosikan pembelajaran berasaskan di rumah mengunakan internet, namun ini mungkin meningkatkan jurang antara (pelajar) kawasan bandar dan luar bandar serta juga yang kaya dan miskin,” katanya.

Katanya ini kerana tidak semua kalangan penduduk Sarawak dan Sabah mempunyai jaringan internet yang sesuai atau mempunyai komputer atau telefon pintar yang sesuai untuk menyertai pembelajaran terbabit.

Tambahnya berikutan ketika meninjau sekitar bandar raya ini, beliau dimaklumkan yang ada keluarga yang hanya memiliki satu telefon pintar sahaja dan hanya digunakan bapa mereka. – DayakDaily