Kerajaan beri cuti tanpa rekod untuk sambutan Gawai Dayak

Putrajaya

Semua pegawai kerajaan Malaysia yang lahir di Sabah, Wilayah Persekutuan Labuan dan Sarawak yang berkhidmat di Semenanjung Malaysia akan dibenarkan mengambil satu hari cuti tanpa rekod untuk Pesta Kaamatan dan Gawai Dayak berkuat-kuasa serta merta.

Menurut kenyataan media oleh Pejabat Perdana Menteri, pemberian cuti tersebut adalah seiring dengan konsep merakyatkan Perkhidmatan Awam dan 1Malaysia.

Dalam pada itu, kerajaan berharap pemberian cuti tanpa rekod tersebut akan membolehkan keluarga penduduk Sabah, Wilayah Persekutuan Labuan, dan Sarawak yang berkhidmat di Semenanjung Malaysia meraikan perayaan tersebut bersama keluarga mereka.


Perayaan Pesta Kaamatan dan Gawai Dayak disambut secara besar-besaran di Sabah, Wilayah Persekutuan Labuan dan Sarawak setiap tahun, di mana ianya merupakan cuti umum di ketiga-tiga negeri.

Sungguhpun demikian, cuti umum tersebut tidak dipanjangkan ke Semenanjung Malaysia sungguhpun wujud permintaan daripada beberapa pihak.