Kerajaan akan pastikan pusat jualan di luar bandar memiliki bekalan mencukupi

Awang Tengah (duduk tengah) pada sidang media.

Oleh Chris Bishop

KUCHING, 28 Mac: Kerajaan akan pastikan semua pusat jualan barangan keperluan di kawasan luar bandar di seluruh negeri memiliki bekalan mencukupi sepanjang tempoh perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Awang Tengah Ali Hassan berkata proses penghantaran bekalan ke kawasan luar bandar hendaklah lancar dan dibuat secepat mungkin.


“Setiap pusat jualan dan pihak pembekal yang telah dilantik hendaklah memastikan keperluan asas dan makanan mencukupi.

“Selain itu, kita juga akan mengadakan kerjasama dengan pihat tentera dan Bomba, khususnya di luar bandar untuk memastikan keperluan asas ini dihantar dengan segera dan efisien,” katanya pada sidang media selesai melakukan tinjauan ke pasaraya hari ini.

Awang Tengah, yang juga pengerusi Jawatankuasa Rantaian Bekalan Makanan, berkata jawatankuasa tersebut telah mengenalpasti beberapa pusat jualan seperti di Bario, Belaga, Baram, Sri Aman, Batang Ai, Pulau Bruit dan Kapit, di mana pengusaha-pengusaha pusat jualan ini telah bersetuju untuk membantu usaha kerajaan.

“Disamping itu, Jawatankuasa Rantaian Makanan juga akan berkerjasama dengan Jawatankuasa Bencana Peringkat Residen dan Daerah yang baru ditubuhkan untuk memastikan agihan keperluan asas ini lancar serta efisien,” katanya.

Dalam pada itu, beliau memaklumkan bahawa secara umumnya bekalan makanan dan keperluan asas mencukupi untuk tempoh tiga bulan. — DayakDaily