Keputusan untuk menerima pelancong dari luar hanya selepas selesai program vaksinasi Covid-19

Ting (kiri) menjadi peserta pertama program "Fat2Fit challenge" anjuran Bomba Zone 6. Pendaftaran beliau diserahkan kepada Ketua Bomba Zone 6 Supt Law Poh Kiong (kanan).

Oleh Jaythaleela K

MIRI, 22 Feb: Umum mengetahui, vaksin Covid-19 telah tiba ke Malaysia semalam (Ahad), namun, Sarawak masih belum bersedia mempertimbangkan untuk menerima kunjungan pelancong luar sehingga program vaksinasi Covid-19 selesai.

Ini dijelaskan Menteri Muda Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan Datuk Sebastian Ting Chiew Yew hari ini.


Beliau ditemui selepas merasmikan acara ‘Fat2 Fit challenge’ anjuran Bomba Zon 6 di Balai Bomba Lopeng Miri.

Turut hadir ketua Bomba Zon 6 Supt Law Poh Kiong.

“Pada waktu ini, kita belum berhasrat membuka sektor perlancongan (Sarawak) kepada pengunjung luar, sehingga proses vaksinasi ini selesai dan kita perlu melihat hasil daripada perlaksanaan program imunisasi peringkat kebangsaan dan negeri,” katanya.

Beliau menambah, pihaknya di Kementerian Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan sudah melakukan persiapan awal dalam memastikan sektor perlancongan negeri kembali seperti biasa selepas program vaksinasi.

“Untuk tahun 2021, kita telah merancang sebanyak 115 acara dalam usaha memulihkan sektor perlancongan negeri.”

Pada pagi semalam, kumpulan pertama vaksin Covid-19 telah tiba di Malaysia.

Vaksin Pfizer-BioNTech tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) melalui penerbangan Malaysia Airlines (MH604) dengan menggunakan pesawat Airbus 330-300 yang dikendalikan oleh MABkargo Sdn Bhd.

Manakala, Sarawak pula dijangka menerima penghantaran pertama vaksin Pfizer-BioNTech pada Rabu ini (24 Feb).

Daerah Miri dijangka menerima kumpulan pertama vaksin Covid-19 pada 6 March depan. — DayakDaily