Kepimpinan dan komitmen faktor pendorong kecemerlangan sekolah, kata Fatimah

Fatimah (kiri) menyampaikan sijil penghargaan di atas kecemerlangan kepada guru besar SK Kampung Klid Latip Abu Bakar.

KUCHING, 26 Julai: Kepimpinan sekolah dan komitmen semua guru dalam pendidikan adalah faktor pendorong kepada pencapaian cemerlang sebuah sekolah, kata Menteri Kebajikan, Kesejahteraan Komuniti, Wanita, Keluarga dan Pembangunan Kanak-Kanak Datuk Seri Fatimah Abdullah.

“Sokongan padu ibu bapa dan komuniti setempat pula menjadi pelengkap kepada kecemerlangan itu,” katanya.

Fatimah berkata demikian pada majlis penyampaian sijil penghargaan kepada dua sekolah cemerlang UPSR 2019 kawasan DUN Dalat pada program Ziarah Kampung Teh di Oya hari ini.


Sekolah tersebut adalah SK Kampung Teh dan SK Kampung Klid dan telah menerima penganugerahan itu sempena Sambutan Hari Guru Peringkat Negeri Sarawak pada 1 Julai lepas yang diadakan di Kuching.

Pada majlis tersebut, Fatimah turut menyampaikan peruntukan melalui projek kecil luar bandar (MRP) Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) SK Kampung Teh, Oya dan PIBG SK Kampung Klid/Plajau, Dalat. — DayakDaily