BAU, 1 Dis: Kepakaran dalam sektor pelancongan dan hospitaliti diperlukan di daerah Bau untuk meningkatkan taraf industri pelancongan tempatan.
Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Dato Sri Tiong King Sing berkata, ini adalah kerana Bau memiliki banyak kawasan menarik yang boleh menjadi tumpuan utama pelancong.
“Mas Gading merupakan sebuah kawasan yang penuh dengan keindahan dan tarikan dengan adanya destinasi pelancongan yang hebat seperti Tasik Biru, Gua Pari dan Serembu Eco Park.
“Tarikan ini bukan sahaja mampu memikat para pelancong untuk datang malah turut mencerminkan budaya dan warisan semula jadi kawasan ini,” kata King Sing dalam Perasmian Karnival Belia Bau 2024 malam tadi.
Teks ucapan King Sing dibaca oleh Adun Krian Friday Belik yang mewakili beliau.
Tambah King Sing, kerajaan sentiasa berusaha melakukan pelbagai inisiatif bagi memastikan sektor pelancongan ini dapat terus menjadi penyumbang kepada pertumbuhan ekonomi di negara ini.
“Namun, ia tak akan berhasil dengan usaha satu pihak sahaja, sebaliknya kita semua memainkan peranan untuk mencapai kejayaan ini.
Karnival Belia Bau 2024 yang berlangsung selama tiga hari bermula 29 November bertujuan untuk menyemarakkan semangat perpaduan, budaya, kreativiti dan mengasah bakat belia melalui program-program yang dianjurkan.
Karnival ini juga mampu mempromosikan daerah Bau kepada pelancong tempatan dan luar negara. — DayakDaily