KUCHING, 18 Dis: Kenyataan Ahli Parlimen Masjid Tanah Datuk Mas Ermieyati Samsudin yang mengatakan program Malaysia Rumah Keduaku (MM2H) memihak kepada pemohon warga China sangat mengelirukan, kata Menteri Pelancongan, Seni Dan Budaya Dato Sri Tiong King Sing.
Malah, ujar Tiong, Mas Ermieyati sengaja melakukan provokasi kaum dan cuba merosakkan keharmonian kaum.
“Apa yang beliau cuba sampaikan menerusi provokasi dengan memilih satu negara tertentu. Setiap permohonan tanpa mengira kewarganegaraan mesti memenuhi syarat platinum sebelum dibenarkan memohon status permastautin tetap (PR).
“Selain mengelirukan fakta, kenyataan Mas Ermieyati terhadap program Malaysia Rumah Keduaku juga telah mencetuskan isu perkauman, sedangkan program tersebut menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi negara,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Tambah Tiong, penambahbaikan kepada kriteria dan syarat MM2H adalah bertujuan menarik lebih banyak permohonan, terutamanya yang mempunyai potensi kewangan yang baik.
Katanya, setiap permohonan dari mana-mana negara yang layak akan diteliti secara telus.
“Umum mengetahui bahawa setiap permohonan untuk menyertai program MM2H mestilah lulus proses semakan yang sangat ketat, termasuk saringan kewangan, semakan latar belakang dan keperluan lain yang berkaitan.
“Sebelum mereka layak menerima pas program MM2H dan kemudiannya memohon status PR mengikut syarat-syarat yang dikenakan oleh Jabatan Imigresen Malaysia.
“Sekiranya pemohon melakukan sebarang salah laku atau melanggar mana-mana syarat program, keistimewaan akan dibatalkan,” ujarnya.
Selain itu, tegas Tiong lagi, kenyataan tidak berasas Mas Ermieyati itu juga boleh merosakan rancangan kerajaan perpaduan untuk memulihkan ekonomi negara. — DayakDaily