Kenyataan Abang Johari kukuhkan kedudukan Anwar sebagai PM — Abun Suipp

Senator Abun Sui Anyit
Advertisement

KUCHING, 14 Jan: Timbalan Pengerusi Parti Keadilan Rakyat (PKR) Sarawak Senator Abun Sui Anyit yakin Perdana Menteri Dato Seri Anwar Ibrahim akan terus menerajui kerajaan sehingga tamat penggal Parlimen.

Menurut beliau, kenyataan terbaharu Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg menamatkan cakap-cakap bahawa kerajaan pusat akan tumbang.

“Kerajaan hanya dapat ditumbangkan dengan undi majoriti tidak percaya kepada Perdana Menteri di Dewan Rakyat Parlimen bukan dengan Akuan Sumpah (SD) lagi.

Advertisement

“Jadi PKR menasihatkan rakyat agar tidak perlu risau dengan berita palsu dan harapan palsu yang disuarakan oleh pihak pembangkang yang memberi harapan palsu kepada penyokong-penyokong mereka hampir setiap hari,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Abang Johari dalam ‘Sesi Townhall 7 Tahun Bersama Premier Sarawak’ di Kuching semalam berkata, jika Anwar ditukar pada pertengahan penggal, beliau yakin akan banyak lagi usaha untuk menukar kerajaan akan berlaku selepas itu.

Menurutnya, keutamaan sekarang harus difokuskan untuk memastikan politik negara stabil bagi memulihkan ekonomi negara dan memastikan rakyat menikmati kesejahteraan. — DayakDaily

Advertisement