Kenyalang Gold Card diagihkan ke 14 kawasan DUN

Fatimah (kanan) merakamkan kenangan bersama wakil-wakil penerima Kenyalang Gold Card di Kuching.

Oleh Chris Bishop

KUCHING, 3 Ogos: Sebanyak 3,595 Kenyalang Gold Card (KGC) yang melibatkan 14 kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) di sekitar Kuching diagihkan kepada wakil penerima bagi kawasan masing-masing hari ini.

Majlis penyampaian tersebut disempurnakan Menteri Kebajikan, Wanita, Keluarga Dan Pembangunan Kanak-Kanak Datuk Seri Fatimah Abdullah di pejabat beliau di Wisma Baitulmakmur.


“Objektif KGC adalah untuk meningkatkan kesejahteraan dan kebajikan warga emas di Sarawak.

“Kemudahan KGC adalah berbentuk diskaun atau yuran percuma untuk barangan dan perkhidmatan yang ditawarkan oleh agensi kerajaan, pihak swasta dan pusat komersial dan menjadi rakan strategic KGC,” kata Fatimah.

Menurut beliau, jumlah permohonan secara manual (setakat 31 Julai, 2020) adalah sebanyak 161,761 permohonan manakala jumlah permohonan secara online bermula dari bulan Mei hingga yang terkini adalah sebanyak 8,089.

Daripada jumlah tersebut katanya, sebanyak 100,903 kad yang telah dicetak manakala kad yang telah diagih setakat ini sebanyak 16,964 kad.

“Empat belas kawasan DUN di sekitar Kuching menerima sejumlah 3,595 KGC hari ini dengan Tasik Biru sebagai penerima terbanyak iaitu 438 kad,”ujar beliau lagi.

Selain Tasik Biru, kawasan DUN Opar menerima 79 kad, Tanjung Datu (20), Pantai Damai (306), Demak Laut (304), Tupong (376), Samariang (305), Satok (226), Padungan (290), Pending (369), Batu Lintang (305), Kota Sentosa (258), Batu Lintang (160) dan Batu Kawa sebanyak 159 kad.

Tambah Fatimah, setakat ini terdapat 89 rakan strategik KGC di seluruh negeri yang menyediakan kemudahan kesihatan, pengangkutan awam, barang keperluan seperti barang runcit, pakaian, optikal, penjagaan diri, refleksologi, urut dan dandanan rambut.

Dalam pada itu, beliau turut memaklumkan bahawa kerajaan setakat ini telah meluluskan 161 permohonan Bantuan Ihsan Kematian (BIK) daripada 297 jumlah keseluruhan permohonan.

Pemberian BIK sebanyak RM3,000 melalui KGC hanya akan diberikan kepada waris apabila pemegang kad yang layak meninggal dunia.-DayakDaily