Kenderaan rempuh pagar kuarters sekolah, seorang lelaki tersepit

Pasukan bomba sedang berusaha mengeluarkan mangsa yang tersepit.

Oleh Dean Adam

KUCHING, Mei 26: Seorang lelaki tersepit selepas kenderaan yang dipandu hilang kawalan lalu merempuh pagar dan dinding kuaters di SK Pendidikan Khas di sini hari ini.

Dalam kejadian kira-kira pukul 6.10 pagi itu, lelaki dalam lingkungan usia 30-an telah mengalami kecederaan akibat tersepit di bahagian tempat pemandu.


Jurucakap Pusat Gerakan Operasi Bomba Sarawak berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada pukul 6.14 pagi.

Jelasnya, pasukan bomba dari BBP Batu Lintang kemudian bergegas ke tempat kejadian untuk melakukan operasi menyelamat.

Kelihatan sebuah kenderaan merempuh pagar dan dinding kuarters sekolah.

“Apabila tiba di lokasi kejadian, pasukan bomba mendapati sebuah kenderaan jenis Nissan Terrano telah merempuh pagar dan dinding kuarters pekerja SK Pendidikan Khas Kuching.

“Pemeriksaan lanjut mendapati mangsa dalam keadaan selamat, namun tersepit di tempat duduknya,” katanya di sini hari ini.

Jurucakap sama menambah, pasukan bomba kemudian bertindak mengeluarkan mangsa dengan menggunakan peralatan khas.

Katanya, anggota bomba mengambil masa lebih 10 minit untuk mengeluarkan mangsa yang tersepit.

“Operasi itu tamat sepenuhnya sejurus mangsa dibawa ke Hospital Umum Sarawak untuk mendapatkan rawatan lanjut,” ujarnya. — DayakDaily