This Content Is Only For Subscribers
SRI AMAN, 6 Julai: Sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) milik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Lubok Antu terlibat kemalangan di Kilometer 5 Jalan Sri Aman, berhadapan Taman Perumahan Sentosa Indah, hari ini.
Pemangku Ketua Polis Daerah Sri Aman DSP Zuriawati Zainal Abidin berkata, kemalangan itu dilaporkan berlaku sekitar jam 10 pagi tadi melibatkan Kenderaan Pasukan (Proton X70) dari IPD Lubok Antu dengan kereta Peugeot.
Katanya kenderaan polis terbabas dipercayai akibat cuba mengelak kereta tersebut yang dikatakan memotong secara bahaya.
“Siasatan awal mendapati kejadian berlaku apabila pemandu kereta tersebut yang datang dari arah pasar Sri Aman hendak menuju ke Kuching.
“Kereta tersebut dikatakan hendak memotong kenderaan di hadapan dan telah masuk laluan bertentangan lalu melanggar bahagian tepi sebelah kanan belakang sebuah kenderaan pasukan dari IPD Lubok Antu jenis X70 yang bergerak dari arah bertentangan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Tiada kecederaan atau kemalangan jiwa dilaporkan dalam kemalangan tersebut.
Tambahnya, kes disiasat di bawah Rule 6 (1) Ln 166/59 (Memotong Secara Bahaya).
“Dinasihatkan kepada pengguna jalan raya yang lain supaya berhati-hati ketika memandu demi keselamatan bersama,” ujarnya. — DayakDaily