Kenderaan jatuh 100 meter ke dalam gaung, lima mangsa selamat

Anggota bomba berusaha menyelamatkan mangsa selepas kenderaan dinaiki mangsa jatuh gaung.
Advertisement

SONG, Dis 29: Lima orang termasuk pemandu sebuah Toyota Hilux berdepan detik-detik mencemaskan apabila kenderaan pacuan empat roda yang dinaiki terbabas lalu terjatuh ke dalam gaung sedalam kira-kira 100 meter di Jalan Song-Kanowit di sini, malam tadi.

Bagaimanapun, dalam kejadian kira-kira pukul 8.25 malam itu, tiada laporan kemalangan jiwa dilaporkan berlaku.

Sebelum kejadian, lima mangsa dikatakan sedang dalam perjalanan dari arah Kanowit ke Song.

Advertisement

Kesemua mangsa yang terselamat ialah Patrisia Edna Patrick, 30, Ebie Langut, 29, Honesy Maie Langut, 18, Napoleon Verron Jangga Chungat, 15, dan Kwok Chin Siong, 40.

Penolong Pengarah Operasi, Jabatan Bomba dan Penyelamat Sarawak, Tiong Ling Hii berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung insiden itu pada pukul 8.30 malam.

Katanya, sejurus menerima laporan kejadian, sepasukan lima anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat Song dan dibantu empat pasukan bomba sukarela telah dikerahkan ke lokasi kemalangan untuk melakukan kerja-kerja menyelamat.

“Jentera pertama sampai di lokasi kejadian pada pukul 9.30 malam dan laluan menuju ke situ adalah menggunakan jalan sawit yang bertanah dan banyak selekoh.

“Semasa tiba, pihak bomba mendapati kesemua mangsa telah berjaya keluar sendiri daripada kenderaan dengan tiga daripadanya berjaya naik ke atas, namun dua lagi masih berada di bawah kerana menghadapi kesukaran untuk naik akibat tebing yang curam serta kaki mereka terseliuh,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Mengulas lanjut, Tiong memberitahu, pasukan bomba terpaksa menggunakan tali penyelamat serta ‘body harness’ bagi membawa dua mangsa untuk naik ke atas laluan utama.

Jelasnya, pihaknya mengambil masa lebih sejam untuk membawa kedua-dua mangsa ke atas.

“Setelah operasi tamat, kesemua mangsa dibawa ke Klinik Song untuk mendapat rawatan lanjut.

“Anggota polis serta ahli keluarga mangsa turut membantu dalam operasi yang tamat pada 10.57 malam itu,” ujarnya lagi. — DayakDaily

Advertisement