Kenal pasti kedudukan saluran paip air, buat pemetaan — Menteri gesa lembaga air

Julaihi (dua dari kiri) menyampaikan sijil penghargaan kepada salah seorang penerima.

KUCHING, 2 Feb: Menteri Utiliti Dan Telekomunikasi Datuk Julaihi Narawi menggesa Lembaga Air Kuching (LAK) mengenal pasti kedudukan saluran paip air yang terdapat di kawasan seliaannya.

Menurut beliau, ini akan memudahkan kerja-kerja pembaikan jika terdapat kebocoran paip berlaku.

“Ini cabaran besar kepada kita bukan sahaja kepada LAK, tetapi juga dihadapi Lembaga Air Sibu dan Jabatan Bekalan Air Luar Bandar.


“Ia menjadi keutamaan kita kerana tiada jajaran paip yang tersusun, paip ini berada dimana-mana—dibawah jalan dan ada juga diantara parit,” kata Julaihi.

Beliau berkata demikian di Majlis Apresiasi Lembaga Air Kuching di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK) malam tadi.

Justeru, tambah Julaihi, sudah tiba masanya satu kajian secara menyeluruh dilakukan bagi mengenalpasti kedudukan saluran paip.

“Saya harap kita buat kajian secara terperinci berhubung jajaran paip ini dan kita buat peta.

“Sebab tiada penghujungnya kalau kita tidak kenal pasti kedudukan sebenar paip-paip ini. — DayakDaily