KUCHING, 4 Dis: Kerajaan Sarawak telah meluluskan kenaikan kadar bantuan bencana segera melibatkan wang saku dari RM100 kepada RM200 seorang.
Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak Dan Kesejahteraan Komuniti Dato Sri Fatimah Abdullah berkata, bantuan peralatan dapur pada kadar RM700 pula dinaikkan secara one-off kepada kadar baharu RM1,000 bagi 1 rumah.
“Pakaian harian pula pada kadar RM200 dinaikkan kepada kadar baharu RM300 seorang.
“Makanan kering pada kadar RM50 dinaikkan kepada kadar baharu RM100 seorang.
“Dan kelengkapan tidur pada kadar RM100 dinaikkan kepada kadar baharu RM200 seorang,” kata Fatimah.
Beliau berkata demikian di Majlis Perasmian Simulasi Kesiapsagaan Bencana di Dewan Perpaduan Debak di Betong hari ini.
Tambah Fatimah, bantuan segera secara one-off yang merangkumi pakaian seragam sekolah dan kasut turut dinaikan pada kadar RM200 kepada kadar baharu RM300 seorang.
Manakala peralatan sekolah (beg dan alat tulis) pada kadar RM100 dinaikkan kepada RM200 seorang.
Katanya, bantuan makanan harian di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) sama ada disediakan secara makanan bungkus atau catuan makanan untuk dimasak disediakan pada kadar RM25 dinaikkan kepada kadar baharu RM50 seorang untuk sehari.
“Bantuan kepada mangsa yang terputus hubungan pada kadar RM50 dinaikan kepada kadar baharu RM100 untuk satu pek seorang untuk tempoh seminggu.
“Ia diberi secara one-off sahaja untuk mangsa kebakaran, ribut, tanah runtuh dan lain-lain bencana kecuali kemarau,” kata Fatimah. — DayakDaily