‘Kemudahan pendidikan di kawasan luar bandar perlu dipertingkatkan’

Lukanisman (enam dari kanan) menyampaikan geran projek khas kepada PIBG SMK Luar Bandar Miri.

SUBIS, Sept 24: Kemudahan pendidikan di kawasan luar bandar di negeri ini khususnya di kawasan Sibuti perlu dipertingkatkan, kata Ahli Parlimen Sibuti, Lukanisman Awang Sauni.

Menurutnya, konsep pendidikan untuk semua dan kesaksamaan pendidikan seharusnya direalisasikan ke arah memastikan sistem pendidikan negara akan terus berkembang maju pada masa hadapan.

Jelas beliau, anak-anak dari kawasan kampung dan pendalaman perlu dibantu dalam kadar yang berganda berbanding anak-anak di bandar.

“Antaranya dengan menyediakan kemudahan teknologi maklumat serta alat bantuan mengajar yang terkini.

“Selain itu, pihak kementerian harus menyediakan guru yang cemerlang serta berpengalaman serta peruntukan yang sewajarnya untuk memastikan seiring dengan pelajar di bandar-bandar besar di negara ini,” katanya ketika berucap pada Majlis Sambutan 50 tahun Jubli Emas Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Daerah Subis di sini malam tadi.

Sementara itu, Lukanisman memberitahu, setiap perancangan serta pelaksanaan dasar pendidikan akan menentukan bentuk serta hala tuju masyarakat di negara ini.

Katanya, untuk 10 atau 15 tahun dari sekarang, sejauh manakah sistem pendidikan negara boleh berkembang serta berperanan dengan baik sekali.

“Hari ini ramai anak-anak yang tamat belajar di sekolah-sekolah menjadi pelajar cemerlang apabila berada di universiti di dalam atau luar negara.

“Ini petanda bahawa sistem pendidikan negara telah berjaya menghasilkan insan pelajar yang berkualiti tinggi,” jelasnya.

Dalam majlis sama, beliau telah menyampaikan geran khas kepada pihak PIBG SMK Luar Bandar Miri sebanyak RM30,000 dan turut meluluskan peruntukan RM30,000 kepada SMK Subis bagi menjalankan aktiviti sekolah. — DayakDaily