KUCHING, Ogos 5: Cubaan jahat seorang lelaki mencuri bateri kereta mengundang padah apabila dia ditahan dalam satu kejadian di Taman Hussein di sini.
Dalam kejadian kira-kira pukul 10 pagi itu, lelaki berusia 30-an, telah diberkas pemilik rumah berkenaan dan ditolong jirannya.
Jurucakap polis berkata, sebelum itu, lelaki berkenaan telah menceroboh masuk ke rumah terbabit.
Katanya, melihat seakan-akan tiada penghuni di kediaman berkenaan, lelaki itu kemudian membuka bahagian enjin kereta milik penghuni rumah itu.
“Namun, sangkaan perompak itu meleset apabila penghuni rumah tersebut telah keluar dan menegur perbuatan lelaki berkenaan.
“Terkejut melihat penghuni rumah berkenaan, suspek kemudian cuba melarikan diri, namun dia berjaya ditangkap pemilik rumah dan jirannya,” katanya di sini hari ini.
Jurucakap polis menambah, pemilik rumah tersebut kemudian menghubungi pihak polis untuk tindakan selanjutnya.
Katanya, perompak terbabit kemudian dibawa ke balai polis untuk siasatan lanjut.
“Kes ini disiasat mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan kerana mencuri.
“Jika sabit kesalahan boleh dipenjara maksimum tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya,” ujarnya lagi. — DayakDaily