This Content Is Only For Subscribers
KUCHING, 22 Ogos: Kempen MYJalan yang akan dilancarkan pada 24 Ogos ini memberi keutamaan terhadap penambahbaikan sistem pemantauan penyenggaraan jalan ke atas semua syarikat konsesi yang diberi amanah dan tanggungjawab kontrak menyenggara.
Menurut Menteri Kerja Raya Dato Sri Alexander Nanta Linggi, ia penting kerana setiap ringgit yang diperuntukkan oleh kerajaan harus dijelmakan dengan hasil yang baik.
“Hasilnya harus mematuhi spesifikasi dan kualiti penyenggaraan demi keselamatan dan keselesaan pengguna.
“Kempen MYJalan ini merupakan kempen jangka panjang dan akan melibatkan beberapa fasa perlaksanaan,” kata Nanta.
Pelancaran Kempen MYJalan akan disempurnakan oleh Perdana Menteri Dato’ Seri Anwar Ibrahim pada 24 Ogos 2023 (Khamis) di Jeti Tasik Awam Tasik Banding, Perak.
Tambah Nanta, kementeriannya juga akan melancarkan Aplikasi Aduan MYJalan bagi memastikan kejayaan kempen.
Katanya, Aplikasi MyJalan merupakan aplikasi yang mengalu-alukan penyaluran semua aduan berkaitan jalan raya seperti jalan rosak, jalan berlubang, atau isu terkait dengan perabot jalan raya.
“Walaupun bidang kuasa kerajaan tertakluk kepada jalan persekutuan, Aplikasi MyJalan ini mengamalkan konsep “No Wrong Door Policy” yang akan memudahkan pengguna untuk membuat aduan terutama sekali ketika kecemasan.
“Aplikasi ini membuka ruang dan peluang kepada pengguna dalam melakukan aduan tanpa kekeliruan tentang saluran yang spesifik bagi aduan berkaitan jalan raya,” ujarnya.
Selain itu, jelas Nanta yang juga MP Kapit, Kempen MYJalan ini merupakan kempen jangka masa panjang yang menyasarkan advokasi berterusan secara meluas.
Justeru katanya, bagi tujuan mempromosikan kempen, hashtag #myjalan, #kamidisini, #SetiaBakti akan diguna dalam semua program kementerian dan agensi serta disebarluaskan ke kementerian dan agensi lain bagi setiap program yang berkaitan dengan jalan raya dan keselamatan jalan raya.
“Apabila kesederan awam ini telah diperluas melalui hebahan media sosial dan aktiviti libat urus di beberapa kawasan dan organisasi yang telah dikenal pasti, pengguna jalan raya akan lebih mengenali, bertanggungjawab dan menyayangi infrastruktur jalan raya, ” kata Nanta. — DayakDaily