Kempen e-sisa berjaya kumpul 27 tan metrik peralatan elektrik

Orang ramai menghantar baranagan elektrik mereka yang tidak dapat digunakan lagi di pusat pengumpulan e-sia semasa Kempen Pengumpulan Buangan Elektronik sempena Sambutan Hari Alam Sekitar di Metro City, Kuching, hari ini (3 Okt,2020).
Advertisement

KUCHING, 3 Okt: Sebanyak 27 tan metrik pelbagai peralatan elektrik (e-sisa) berjaya dikumpul menerusi program kutipan sisa kitar semula barangan elektronik di Metro City di sini hari ini.

Pengarah Jabatan Alam Sekitar (JAS) Sarawak, Hamzah Mohamad berkata program di bawah inisiatif Kementerian Alam Sekitar dan Air itu bertujuan untuk memupuk dan meningkat keprihatinan serta tanggungjawab dalam memulihara alam sekitar.

Katanya, di bawah inisiatif tersebut kementerian itu menyasarkan untuk mengumpul sebanyak 200 tan metrik e-sisa seluruh negara dengan lima tan metrik daripada disasarkan untuk dikumpul di Sarawak

Advertisement

“Hari ini sahaja kita telah pun mencapai sasaran tersebut pada program hari ini di Metro City, Kuching dan program ini akan kita jalan berterusan dengan lokasi seterusnya adalah di Institut Pendidikan Guru Tun Abdul Razak, Kota Samarahan pada 31 Oktober ini.

“Kita juga menjangkakan akan mengadakan program sama di Bintulu pada 7 dan 8 November depan,” katanya pada sidang media Kempen Pengumpulan Buangan Elektronik sempena Sambutan Hari Alam Sekitar di Metro City di sini hari ini.

Barangan elektrik yang tidak boleh digunakan lagi dikumpulkan untuk dilupus di premis yang dilesenkan oleh JAS Sarawak ketika Kempen Pengumpulan Buangan Elektronik sempena Sambutan Hari Alam Sekitar di Metro City, Kuching, hari ini (3 Okt,2020).

Hamzah berkata, kesemua e-sisa yang dikumpul menerusi program tersebut akan dilupuskan oleh syarikat yang dilesenkan oleh JAS Sarawak untuk mengendalikan sisa tersebut mengikut kaedah-kaedah yang digariskan dalam peraturan kualiti alam sekeliling dan bahan buangan 2005.

Beliau berkata, e-sisa tersebut sekiranya tidak dilupuskan atau dikendalikan dengan baik, ia boleh menyebabkan kesan pencemaran serius kepada alam sekitar.

“E-sisa ini banyak mengandungi beberapa bahan pencemar atau logam berat seperti plumbum,cadmium, berrillium dan ‘ brominate flame retardant’ yang boleh meresap ke dalam tanah seterusnya mencemarkan sumber air kita,” katanya.

Beliau dalam pada itu turut menasihati dan memohon kerjasama daripada orang ramai untuk menyerahkan barangan elektrik yang tidak boleh digunakan kepada premis yang dilesenkan JAS untuk mengendalikan sisa terbabit.

“Orang ramai boleh menghubungi JAS untuk mendapat khidmat nasihat dan mengetahui di mana tempat-tempat boleh dihantar buangan-buangan yang kita kategorikan sebagai e-sisa ini,” katanya. –DayakDaily

Advertisement