Kementerian Kesihatan sahkan kanak-kanak lelaki meninggal dunia disyaki HFMD

Langkah-langkah pencegahan HFMD

SIBU, Julai 28: Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) hari ini mengesahkan seorang kanak-kanak telah meninggal dunia disyaki penyakit tangan, kaki dan mulut (HFMD).

Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, kanak-kanak yang meninggal dunia itu berumur 2 tahun 5 bulan dan berasal dari Kampung Pangtray, Daro, Mukah.

Menurutnya, kanak-kanak malang itu mula mengalami demam pada 24 Julai lepas dan menunjukkan tanda-tanda seperti ruam di tapak tangan dan kaki serta ulser dalam mulut pada 25 Julai lepas.


“Selanjutnya kanak-kanak tersebut telah dibawa ke Klinik Kesihatan (KK) Daro pada 25 Julai lalu dan telah didiagnosa sebagai disyaki HFMD.

“Kanak-kanak itu kemudian diberikan rawatan serta ibunya telah dinasihatkan untuk mendapatkan rawatan dengan segera jika anaknya masih belum sembuh,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Dr Noor Hisham menambah, pada 27 Julai lalu, kanak-kanak tersebut telah dibawa ke Jabatan Kecemasan dan Trauma, Hospital Daro dalam keadaan tidak stabil.

Katanya, kanak-kanak itu kemudian dirujuk ke Hospital Sibu untuk rawatan lanjut.

“Bagaimanapun, kanak-kanak itu telah meninggal dunia di Hospital Sibu pada pukul 2.08 pagi.

“Kematian kanak-kanak itu adalah disebabkan oleh jangkitan paru-paru yang teruk dengan jangkitan HFMD.

“Sampel klinikal juga telah diambil untuk ujian pengesahan bagi mengetahui penyebab kematian,” ujarnya lagi.

Dalam pada itu, KKM ingin menasihati orang ramai, terutamanya yang mempunyai anak-anak kecil agar mengambil langkah berjaga-jaga berikut untuk mengurangkan risiko mereka dijangkiti. — DayakDaily