Kembalikan semula tenis sebagai sukan popular

Henry (duduk tengah baju putih) merakamkan kenangan bersama ahli-ahli Maksak Regulars dan PERTENSI.

Oleh Chris Bishop

KUCHING, 29 Ogos: Sukan tenis yang popular di era 80-an seharusnya diangkat semula dan dijadikan sukan penting.

Menurut Timbalan Menteri Pengangkutan Dato Henry Harry Jinep, tenis pada satu ketika dahulu merupakan sukan popular di kalangan penjawat awam.


Katanya, pada masa itu ramai penjawat awam terlibat di dalam sukan tersebut yang memaksa kerajaan membina fasiliti tenis di setiap jabatan.

Namun katanya, kebelakangan ini iaitu sejak 10 tahun atau lebih, tenis semakin kurang popular dan kurang menarik minat golongan belia.

“Ini mewujudkan satu jurang yang besar di antara pemain senior atau veteran dengan pemain muda.

“Justeru, tidak ramai pemain muda berbakat yang boleh mewakili Sarawak untuk bertanding di peringkat tinggi,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui di Perlawanan Persahabatan MAKSAK Regulars dan PERTENSI Singkawang di Gelanggang Tennis MAKSAK di sini, pada Sabtu (27 Ogos) lepas.

Perlawanan persahabatan tersebut diadakan bersempena Lawatan Muhibah lebih 60 ahli PERTENSI yang diketuai Bapa Tasman ke Bandaraya Kuching.

Rombongan PERTENSI juga turut diraikan di satu majlis makan malam yang diadakan di kediaman Henry di Bong Konis di Bau pada malam Sabtu.

Dalam pada itu, Henry menyarankan agar jabatan pendidikan negeri dan ibu bapa memainkan peranan untuk menarik minat para pelajar terhadap sukan tenis.

Beliau mahukan fasiliti tenis yang ada di sekolah-sekolah termasuk di agensi kerajaan dibaik pulih dan diguna semula untuk sukan tersebut .

“Kita sedia maklum kebanyakan fasiliti tenis di sekolah dan jabatan kerajaan telah diubah sebagai gelanggang sukan lain seperti futsal, bola tampar, tempat letak kereta dan lain-lain.

“Terdapat juga bahagian seperti di Sri Aman tidak memiliki gelanggang tenis lagi di mana pada satu ketika terdapat lebih dari lima gelanggang.

“Ketiadaan fasiliti ini merupakan penyumbang besar mengapa sukan tenis semakin kurang popular sekarang,” ujar beliau.

Dalam usaha mengangkat semula sukan tenis, Henry turut menyeru agar setiap persatuan tenis di seluruh bahagian untuk kembali aktif.

Henry (berdiri tengah, baju putih) bersama yang lain melepaskan anak ikan ke dalam kolam Maksak di Jalan Upland.

Dalam pada itu, Henry yang juga ahli dan penasihat Kelab MAKSAK Regulars telah membantu mengindahkan kawasan persekitaran gelanggang tenis Maksak di Jalan Upland di sini. — DayakDaily