Kembalikan Pengurusan Lembaga Lada Malaysia kepada Sarawak – ADUN Meluan

The Sarawak Legislative Assembly complex.

KUCHING, 12 Nov: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Meluan, Rolland Duat Jubin mencadangkan agar Pengurusan Lembaga Lada Malaysia di kembalikan kepada Sarawak.

Ini kerana menurut beliau, lembaga tersebut telah hilang hala tuju yang jelas iaitu untuk memperkasakan industri lada di Sarawak.

Beliau berkata, Lembaga Lada Malaysia sepatutnya menumpukan perhatian sepenuhnya terhadap pembangunan lada pekebun kecil manakala anak syarikat iaitu Sara Spice Sdn Bhd menumpukan sepenuhnya kepada aktiviti promosi lada bukannya terjun kepada bidang peniagaan sepenuhnya.


“Lembaga Lada Malaysia dilihat lebih berminat untuk berniaga lada sahaja kerana baru-baru ini kita mendengar bahawa anak syarikatnya, Sara Spice Sdn Bhd akan mengambil alih operasi pembelian lada.

“Saya risau langkah ini akan menyebabkan kepentingan dan nasib pekebun kecil lada di Sarawak akan terpinggir,” katanya semasa ucapan perbahasan Rang Undang-undang Pembekalan 2021 pada persidangan Dewan Undangan Negeri Sarawak hari ini.

Beliau berkata, tindakan tersebut memperlihatkan bahawa Lembaga Lada Malaysia lebih mementingkan keuntungan anak syarikatnya daripada menjaga kepentingan dan isu pekebun kecil lada yang kini berdepan dengan kejatuhan harga komoditi tersebut.

“Hari ini harga belian lada cuma RM8 sekilogram dan kita melihat Lembaga Lada Malaysia tidak mempunyai hala tuju jelas untuk menangani masalah kejatuhan harga dan membantu pekebun kecil lada.

“Baru-baru ini mahu jual lada kepada mereka pun mesti pakai guni mereka dan ini amat menyusahkan pekebun kecil.

“Kita juga mendengar bahawa mereka (Sara Spice Sdn Bhd) ingin membawa pelabur besar masuk membuka ladang besar dan ini amat jelas bahawa mereka tidak memikirkan tentang bagaimana untuk membangunkan pekebun kecil, sebaliknya mahu membuat peniagaan besar sahaja,” katanya. — DayakDaily