Kemajuan rundingan MA63 diumum Januari depan – PM Anwar

Dato Seri Anwar Ibrahim

Oleh Chris Bishop

KUCHING, 21 Dis: Kemajuan rundingan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) akan diumumkan pada Januari depan, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Menurut beliau, hasil rundingan MA63 yang dipengerusikan Timbalan Perdana Menteri Dato Sri Fadillah Yusof adalah lebih baik daripada sebelumnya.


“Kita bagi tempoh sebulan dan pada awal Januari bila genap sebulan kita akan umumkan kemajuan yang jauh lebih baik.

“Kita telah menyelesaikan sebahagian besar daripada isu-isu yang dibangkitkan.

“Walaupun ada hal-hal lain yang melibatkan perundangan dan pindaan undang itu terpaksa ditangguhkan sehingga sidang Parlimen,” katanya pada sidang media pasca mesyuarat Kabinet Kerajaan Perpaduan di Putrajaya hari ini.

Jelas Anwar, pada mesyuarat hari ini kerajaan telah meluluskan beberapa isu berkaitan MA63.

Katanya, ia melibatkan pemindahan kuasa kepada Kerajaan Sabah untuk mengawal selia bekalan gas yang dahulunya dilakukan oleh Petronas.

“Terdahulu, pemindahan kuasa kawal selia bekalan gas ini sudah diserahkan kepada Kerajaan Sarawak.

“Tentunya tarik pelaksanaan bagi Sabah menunggu perkenan Yang di-Pertuan Agong.

“Namun keputusan jemaah menteri telahpun diperakui hari ini,” ujar Anwar. — DayakDaily