Kelulusan RUU Perlembagaan (Pindaan) MA63 adalah semangat Sarawak mahukan, kata Abang Johari

Abang Johari (empat dari kiri) menyerahkan Warta Rizab Komunal Bumiputera Seksyen 6 KTN kepada salah seorang Tuai Rumah.

KUCHING, 15 Dis: Kelulusan Rang Undang-Undang (RUU) Perlembagaan (Pindaan) Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) oleh Dewan Rakyat adalah semangat yang Sarawak mahukan, kata Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg.

Menurut beliau, Sarawak menuntut untuk mempertahankan hak yang telah diputuskan dalam MA63 melalui proses undang-undang.

“Saya ucapkan terima kasih kepada ahli-ahli parlimen Malaysia yang hadir semalam dan telah meluluskan RUU MA63 dimana saya mengalu-alukan pindaan itu khasnya Perkara 160 (2).


“Ini menjelaskan mengenai Perjanjian Malaysia dalam definasi persekutuan iaitu selain daripada Perjanjian Persekutuan Tanah Melayu 1957, dimasukkan juga MA63, laporan Jawatankuasa Antara Kerajaan (IGC).

“Maka ia menjadi sebahagian kandungan Perlembagaan Malaysia,” katanya ketika ditemui selesai Majlis Penyerahan Warta Rizab Komunal Bumiputera Seksyen 6 Kanun Tanah Negeri (KTN) di Dewan Serbaguna Ladang Kelapa Sawit Roban Selatan di Saratok.

Pada majlis itu, Abang Johari turut menyerahkan Hak Milik Tanah Seksyen 18 bagi kawasan Krian.

Dengan kelulusan RUU Perlembagaan (Pindaan) itu, beliau yakin keluhuran undang-undang berhubung perkara tersebut terjaga.

Katanya, ia merupakan salah satu perjuangan Gabungan Parti Sarawak (GPS) dalam mempertahankan hak Sarawak.

Terdahulu dalam ucapannya, Abang Johari berharap rakyat di Krian dapat hidup makmur dan dapat memajukan tanah masing-masing menerusi penyerahan Warta Rizab Komunal Bumiputera Seksyen 6 KTN serta Surat Hak Milik Tanah Seksyen 18.

“Warta ini menyatakan tanah itu di milik rumah panjang dan sebelum surat dikeluarkan, mesti sukat dahulu mengikut bukti-bukti yang ada itu Seksyen 6.

“Setelah selesai sukat, ia akan menjadi milik komuniti dengan surat hak milik,” ujar beliau.

Dalam pada itu, Abang Johari yang juga Pengerusi GPS menyeru penduduk di Krian menyokong calon GPS Friday Belik pada Piliharaya Negeri(PRN) 18 Disember ini

“Saya harap rakyat di Krian akan bersatu padu di bawah GPS, kita ada calon iaitu Friday Belik yang merupakan bekas Residen Bahagian Betong.

“Friday ada pengalaman, dan saya yakin beliau akan berkhidmat dengan baik jika dipilih dan menjadi sebahagian jentera dalam usaha kita membangunkan Krian,” ujar Abang Johari.

Turut hadir Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Douglas Uggah, Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Amar Jaul Samion dan Timbalan Menteri Tenaga dan Sumber Asli Datuk Ali Biju. — DayakDaily