Kelulusan penempatan sementara IPD Belaga dalam masa terdekat – Aidi

Aidi (kiri) dan Lee (tengah) ketika sidang media Pelancaran Ops Selamat Semperna Sambutan Perayaan Hari Krismas dan Tahun Baru 2021 di Kuching.

KUCHING, 18 Dis: Proses untuk menyediakan kabin sebagai penempatan sementara bagi Balai Polis dan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Belaga kini sedang dilaksanakan oleh Ibu Pejabat Polis Bukit Aman menerusi Peruntukkan Darurat Kementerian Dalam Negeri (KDN).

Persuruhjaya Polis Sarawak Datuk Aidi Ismail berkata, surat pemakluman itu telahpun dihantar ke Bukit Aman dan masih menunggu kelulusan  daripda KDN.

“Selepas diluluskan dalam masa terdekat ini, mungkin dalam masa satu dua minggu ini kita akan dapat kontena bagi menyediakan kabin itu yang diluluskan kerajaan menerusi perolehan Darurat tersebut,” katanya pada sidang media selepas pelancaran Ops Selamat Semperna Sambutan Perayaan Hari Krismas dan Tahun Baru 2021 di sini hari ini.

Turut hadir Menteri Pengangkutan Sarawak Datuk Lee Kim Shin.

Beliau bekata, ketika ini, IPD dan Balai Polis Belaga  beroperasi menggunakan khemah sementara bagi semua urusan berkaitan.

Katanya, kabin tersebut akan diletakan di lokasi berhampiran iaitu di hadapan tapak premis yang musnah tersebut.

Dalam kejadian 1 tengah hari Isnin lalu, kesemua rekod dan aset yang tersimpan di bangunan balai polis tersebut musnah kecuali senjata serta kendaraan pasukan.

Kebakaran terbabit yang dipercayai bermula dari pejabat Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik berpunca daripada kejadian litar pintas. — DayakDaily