This Content Is Only For Subscribers
KUCHING, 27 Jun: Menteri Pelancongan, Industri Kreatif Dan Seni Persembahan Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah menegur peguam Asiah Abdul Jalil kerana kenyataan yang disifatkannya telah menyakiti rakyat Sarawak dan Sabah.
Katanya, Asiah sebagai seorang peguam, seorang yang terpelajar seharusnya tidak mengeluarkan kenyataan sedemikian.
“Mengeluarkan kenyataan yang boleh menyinggung perasaan rakyat Sarawak dan Sabah harus dielakan.
“Ia adalah tidak baik bagi kita yang sama-sama berada di dalam negara Malaysia,” katanya pada sidang media di Kuching semalam.
Pada hantaran di Facebook Asiah, beliau berkata, sebagai warga Semenanjung saya memandang Sarawak dan Sabah bukanlah tempat yang indah untuk meneruskan kerjaya.
Kata Asiah, Sarawak dan Sabah juga bukan tempat yang praktikal untuk merancang hidup berkeluarga.
Bukan tempat yang ideal untuk membesarkan anak-anak di usia persekolahan.
Asiah juga memberitahu, Sarawak dan Sabah masih belum menghasilkan rakyat negeri yang boleh mengisi pekerjaan di negeri sendiri dan bergantung kepada rakyat Semenanjung.
Justeru Abdul Karim mengajak Asiah melihat sejarah bagaimana Malaysia ditubuhkan.
Ujar beliau yang juga Menteri Belia, Sukan Dan Pembangunan Usahawan, Sarawak dan Sabah ada hak-hak istimewa di dalam Perlembagaan Malaysia.
“Lihat juga bagaimana pembangunan ekonomi Malaysia sekarang, sumbangan oleh Sarawak dan Sabah yang menjadikan Malaysia sekarang.
“Kita tak pernah kata tanpa Sarawak tanpa Sabah, Malaysia tak wujud.
“Sebab kita tahu sebagai warga Malaysia, kita perlu kongsi sumber-sumber kita, seperti minyak dan gas dimana Sarawak hanya dapat 5 peratus sahaja,” kata beliau. — DayakDaily