BAKONG, Jan 4: Sebuah keluarga ibu tunggal yang menetap di Rumah Anthony Sungai Liam Lepong Ajai dekat sini hidup dalam keresahan setiap kali hujan lebat berikutan masalah tanah runtuh yang berlaku di bahagian belakang rumah mereka.
Ibu tunggal itu, Selinah Chelagat, 44, mendakwa dia bersama dua anaknya kini dihantui kebimbangan ekoran kejadian tanah runtuh yang berlaku baru-baru ini.
“Saya berharap pihak berkaitan mengambil tindakan susulan supaya perkara ini diselesaikan segera.
“Tindakan segera perlu diambil supaya tiada sebarang perkara tidak diingini berlaku,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Sementara itu, pasukan bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat Miri yang melakukan tinjauan di lokasi kejadian mendapati tanah runtuh berdekatan bahagian dapur rumah berkenan masih aktif.
Pasukan bomba kemudian menasihatkan agar penghuni rumah tersebut berhati-hati dan mengosongkan kediaman itu kerana tanah susur masih aktif dan bahaya jika keadaan hujan berterusan.
Buat masa ini, belum ada kerja-kerja penyelenggaraan dibuat oleh pemilik rumah berkenaan.
Bagaimanapun, pemilik kediaman tersebut telah memaklumkan kejadian itu kepada ketua kampung dan agensi berkaitan yang pernah memantau tapak tanah runtuh berkenaan sebelum ini.
Pada masa yang sama, anggota bomba menasihati penghuni rumah itu supaya berpindah ke rumah saudara mara yang berdekatan buat sementara waktu dan mengambil langkah berjaga-jaga untuk mengelak sebarang kejadian yang tidak diingini berlaku. — DayakDaily