Kelab Pinyimendis 4×4 anjur program kesedaran keselamatan kebakaran

Sumbangan yang disampaikan kepada penduduk kampung.

KUCHING, 16 Nov: Kelab Pinyimendis 4×4 (pacuan empat roda) menganjurkan Program Kesedaran Awam Tentang Keselamatan Kebakaran di Rumah Panjai Bila Antu Ili dan Rumah Panjai Telinting Lemanak pada 13 dan 14 Nov baru-baru ini.

Jurucakap kelab Arther James Collin berkata program tersebut diadakan dengan kerjasama daripada Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (Bomba) zon 3 dan Balai Bomba Betong, Hope Place, Glory Motor 4×4 serta D-Generation 4×4.

Katanya, program dua hari tersebut adalah untuk memberi kesedaran kepada penduduk kampung mengenai kepentingam keselamatan kebakaran di kalangan penduduk setempat.


Anggota Bomba menberikan tunjuk ajar cara-cara mengendalikan alat pemadam api.

“Selain itu, anggota program turut menjalankan pemeriksaan kesihatan, menghantar sumbangan makanan kepada penduduk kampung.

“Untuk makluman, pasukan kesihatan kita juga telah menjalankan pemeriksaan pergigian, perubatan kepada 60 penduduk dari kedua-dua buah rumah panjang tersebut,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Jelasnya, ubat-ubatan yang dibekalkan kepada penduduk adalah sumbangan daripada Ting Pharmacy.

“Turut diberikan kepada penduduk rumah panjang dalam program tersebut adalah alat pemadam api yang disumbangkan oleh Sakura Baggage Transport Forwarding and Shipping Agency serta Fitters (Sarawak) Sdn Bhd,” katanya.

Untuk sumbangan makanan pula adalah berupa mee, biskut serta milo masing-masing 62 kotak dan beras, gula, garam, minyak masak, kopi dan pelitup muka masing-masing 31 kotak.

“Ahli kelab turut menawarkan khidmat pemotongan rambut secara percuma kepada penduduk rumah panjang sepanjang dua hari program tersebut,” katanya.

Bomba Betong dalam program tersebut turut memberikan ceramah kesedaran mengenai kebakaran dan tunjuk ajar dalam mengendalikan alat pemadam api sekiranya berlaku kebakaran.

“Terdapat juga pemasangan alat pengesan asap oleh anggota sukarelawan yang menyertai program ini,” katanya.

Program yang diketuai Michael Chin dan dibantu Francis Repiak itu turut mensasarkan akan lebih banyak lagi dianjurkan pada masa-masa akan datang.

“Kita mohon juga lebih banyak pihak dapat bekerjasama dengan kita dalam menjayakan program ini pada masa-masa akan datang,” katanya. — DayakDaily