Kelab Malaysiaku lahir masyarakat bersatu padu

Ali (depan, tengah) merakam gambar kenangan bersama peserta program.

Oleh Dean Adam

KUCHING, Mac 21: Mengamalkan rukun negara dalam kehidupan seharian mampu melahirkan masyarakat yang bersatu padu serta bersikap saling menghormati di antara satu sama lain tanpa mengira kaum.

Timbalan Pengarah Penerangan Negeri Sarawak, Ali Suhaili berkata, melalui program yang dilaksanakan ini juga ia dapat menerapkan nilai murni seperti, kecintaan terhadap negara dan budaya dalam masyarakat majmuk.


Selain itu, katanya, program tersebut juga mendidik generasi muda untuk menjadi pelapis pemimpin masa depan agar tidak terjebak dengan perkara yang tidak baik.

“Malah, penubuhan Kelab Malaysiaku adalah bertujuan bagi memastikan para pelajar sentiasa turut serta dalam aktiviti yang menjurus kepada lima prinsip rukun negara,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa merasmikan Program Amalan Demokrasi Berparlimen Malaysia Kelab Malaysiaku anjuran Suruhan Jaya Pilihan Raya Sarawak (SPR) bersama Jabatan Penerangan Malaysia Negeri Sarawak di Dewan Perdana Sekolah Menengah Matang Jaya, di sini, hari ini.

Peserta program sedang melakukan simulasi pilihanraya.

Majlis tersebut telah dimulakan dengan Ceramah Amalan Demokrasi Berparlimen yang disampaikan oleh Pegawai SPR, Jap Joon Siew dan Lizawati Jeli.

Turut diadakan juga ialah simulasi proses pilihan raya yang melibatkan 160 orang pelajar dari Kelab Malaysiaku.

Melalui simulasi tersebut, peserta telah diberi pendedahan kepada keadaan sebenar proses demokrasi yang dijalankan di negara ini.

Aktiviti lain yang turut diadakan ialah pameran oleh Pusat Maklumat Rakyat (PMR) Daerah Kuching dengan tujuan memperkenalan fungsi PMR kepada warga sekolah. — DayakDaily