Ahli Kelab Malaysiaku tamatkan Program Kem Aspirasi Pelajar

Para peserta program dan Yong (duduk tiga dari kiri) merakamkan kenangan beramai-ramai.

Oleh Chris Bishop

KUCHING, Sept 8: Seramai 55 ahli Kelab Malaysiaku Daerah Kuching dan Samarahan telah menamatkan Program Kem Aspirasi Pelajar hari ini.

Program yang berlangsung selama 3-hari-2-malam itu bermula Sept 6 lepas diadakan di Pusat Latihan dan Kem Eco Sumiran di sini.

Majlis penutupan dan penyampaian sijil kepada peserta program tersebut telah disempurnakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pending, Violet Yong.

“Program ini bertujuan untuk memupuk semangat patriotisme, perpaduan dan nilai-nilai murni melalui gaya hidup berkualiti.

“Selain itu, program juga memupuk budaya jati diri bangsa yang setia, berani dan sanggup berkorban demi bangsa dan negara.

“Kita memperkasakan semangat perpaduan di kalangan peserta tanpa mengira kaum, bangsa dan agama,” kata Yong dalam ucapannya di majlis tersebut.

Yong (depan, dua dari kiri) bersama peserta program menyanyikan lagu ‘Malaysia Bersih’ sambil mengibarkan Jalur Gemilang.

Beliau juga menggesa peserta agar menanam sikap cintakan Malaysia disamping memanfaatkan pengalaman yang diperolehi disepanjang program.

Ujar beliau, nilai-nilai murni yang diajar mungkin tidak diperolehi di sekolah.

“Cintailah Malaysia dan amalkan nilai nilai murni ini. Suatu hari nanti anda semua akan menjadi pemimpin negara,” ujar Yong.

Program tahun ini melibatkan 6 buah sekolah dari sekitar Bahagian Kuching dan Samarahan, iaitu SMK Matang Jaya, SMK Bako, SMK Agama Matang, SMK St Thomas, SMK Sadong Jaya dan SMK Muara Tuang.

Turut hadir Pengarah Jabatan Penerangan Negeri Sarawak Abang Sardon Abang Hashim. — DayakDaily