Kejuaraan Silat Premier Antarabangsa Sarawak 2023 mulai 27 Februari

Mohamad (dua kiri) pada kunjungan terhadap Abang Johari di Kuching. Foto: UKAS

KUCHING, 10 Jan: Edisi sulung Kejuaraan Silat Premier Antarabangsa Sarawak 2023 akan berlangsung di Stadium Tertutup Petrajaya pada 27 Februari hingga 5 Mac depan.

Menurut laporan Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS), kejuaraan yang dianjurkan Rumpun Silat Sarawak (RSS) bakal disertai seramai 800 pesilat daripada 16 buah negara.

“Sehingga semalam, kita baru dapat 11 penyertaan dan penyertaan ini akan tutup pada 16 Januari ini.


“Beberapa negara yang telah menyatakan kesediaan untuk menghantar pasukan selain Malaysia ialah Indonesia, Brunei, Singapura, Filipina, Uzbekistan, Kyrgyzstan, India, Afrika Selatan, Thailand dan Vietnam.

“Penyertaan dalam Malaysia termasuklah Sarawak (tuan rumah), Terengganu, PDRM, Pahang, Melaka dan Sabah,” kata Timbalan Presiden RSS, Dato’ Mohamad Yusnar Matalie.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas melakukan kunjungan hormat ke atas Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg di Wisma Bapa Malaysia pada Isnin.

Tambah Mohamad, juara keseluruhan akan membawa pulang hadiah berupa wang tunai USD20,000, medal emas serta buat kali pertama tali pinggang kejuaraan diperkenalkan bagi juara setiap kategori yang dipertandingkan.

Perasmian Kejuaraan Silat Premier Antarabangsa Sarawak 2023 akan dilakukan Abang Johari. — DayakDaily