Belaga: Kerjasama dan kegigihan masyarakat setempat untuk mempromosikan Belaga kepada dunia luar merupakan kunci utama Pesta Kebudayaan Apau Koyan dapat dilaksanakan dengan jayanya.
Timbalan Ketua Menteri Sarawak Tan Sri Datuk Amar Dr. James Jemut Masing semasa ucapan perasmian pesta tersebut Ahad lepas, telah memuji usaha yang ditunjukkan oleh masyarakat setempat dalam menjayakan pesta tersebut.
“Walaupun pihak Pejabat Daerah, pihak Yang Berhormat serta pihak Sarawak Energy Berhad sudah memberi bantuan untuk pesta ini, ianya tidak akan berjaya tanpa sokongan serta kegigihan masyarakat di kawasan ini,” ujar beliau.
Pesta Apau Koyan atau Pesta Bakun telah berlangsung selama 2 hari.
Pesta tersebut diadakan bagi tujuan mempromosi serta mempelihara budaya serta tradisi pelbagai etnik yang terdapat di Belaga.
Pelbagai aktiviti telah diadakan sempena pesta tahunan tersebut seperti pertandingan pondok berhias, pertandingan Berawan dan Keligit, sukan rakyat serta aktiviti futsal serta bola tampar.
Salah satu tarikan utama pesta Apau Koyan adalah pertandingan pondok berhias yang telah dibina oleh masyarakat setempat bagi mempamerkan keunikan budaya masing – masing serta mempromosikan makanan dan minuman etnik mereka.
Turut hadir ke pesta tersebut adalah Menteri Muda Belia dan Sukan Sarawak, Snowdan Lawan, Menteri Muda Bekalan Air Sarawak merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri Belaga, Liwan Lagang, Ahli Parlimen Hulu Rejang, Datuk Wilson Ugak Anak Kumbong, Ahli Undangan Negeri Samalaju, Majang Renggi serta Ahli Dewan Undangan Negeri Murum, Chukpai Ugon.-dayakdaily.com