Kegagalan bayaran royalti 20 peratus: Kerajaan Sarawak harus dipersalahkan, kata Chong

Chong (duduk dua dari kiri) menunjukkan cadangan perjanjian di antara PH dan kerajaan Sarawak pada sidang media hari ini (Sept 29, 2019).

Oleh Chris Bishop

KUCHING, Sept 29: Kerajaan Sarawak harus dipersalahkan atas kegagalan perlaksanaan bayaran 20 peratus royalti minyak, dan bukannya Pakatan Harapan (PH), kata pengerusi PH Sarawak, Chong Chieng Jen.

Beliau berkata cadangan perjanjian telah ditawarkan kepada kerajaan negeri yang pada masa itu ialah sebahagian daripada Barisan Nasional (BN) sebelum pilihan raya umum 2018.


“Tapi kerajaan negeri (BN) Sarawak telah menolak cadangan perjanjian yang ditawarkan PH.

“Saya yakin dokumen perjanjian tersebut masih dalam simpanan Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg,” kata Chong pada sidang media di Ibu Pejabat Parti Tindakan Demokratik (DAP) di sini hari ini.

Chong yang juga Pengerusi DAP Sarawak menambah, tawaran 20 peratus royalti minyak itu adalah bersyarat dimana kerajaan negeri harus bertanggungjawab kepada perkara pendidikan dan kesihatan.

Selain itu, kata Chong, tawaran juga membabitkan 50 peratus dari hasil kutipan cukai dipulangkan kepada Sarawak.

“Tetapi Abang Johari dan GPS telah menolak tawaran. Mereka hanya ingin menggunakan 20 peratus bayaran royalti itu untuk kegunaan sendiri.

“Itu bukan yang kita tawarkan dalam cadangan perjanjian dan Abang Johari telah memilih untuk mengadakan rundingan dengan perdana menteri bersendirian.

“Kita tidak tahu mengapa beliau menolak tawaran,” tegas Chong yang juga Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna.

Pengerusi PH merangkap Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad pada Khamis lepas di New York mengatakan bahawa pembayaran tersebut benar-benar tidak boleh berjaya. — DayakDaily.