Abang Johari: Eratkan perpaduan, MPKK bertujuan pecah-belahkan rakyat

Abang Johari(tiga dari kiri) menyerahkan surat hak milik tanah kepada seorang penerima  di Kuching hari ini (Sept 29, 2019).

Chris Bishop

KUCHING, Sept 29: Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg menyeru rakyat Sarawak agar terus merapatkan perpaduan.

Katanya, keputusan Kerajaan Persekutuan Pakatan Harapan(PH) menubuhkan Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) bertujuan untuk memecah-belahkan perpaduan rakyat Sarawak.


“Kita pelihara perpaduan sebaiknya, maklumlah kita akan menentang parti dari Kuala Lumpur. Kita kerajaan kita sendiri dan di Kuala Lumpur Kerajaan Pakatan Harapan.

“Pakatan Harapan mahu tubuhkan MPKK dan di Sarawak sudah wujud ketua kaum dan Jawatankuasa Keselamatan dan Kemajuan Kampung (JKKK).

“Maka kita harus ingat, jika berpecah kita akan kehilangan tanah dan sebagainya,” katanya.

Abang Johari berkata demikian pada Majlis Penyampaian Surat Hak Milik Tanah Seksyen 18 Kanun Tanah Negeri, Kampung Kudei Baru di Auditorium Ibu Pejabat PBB di Jalan Bako, hari ini.

Beliau yang juga Pengerusi Gabungan Parti Sarawak(GPS) mengambil contoh keadaan yang berlaku di Semenanjung Malaysia dimana masyarakat bumiputera Melayu telah terpecah lima.

Pertama ujar beliau parti pimpinan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad Bersatu (Parti Pribumi Bersatu Malaysia), kedua UMNO, ketiga PAS, keempat PKR dan kelima Parti Amanah (Negara).

“Apabila terpecah lima, mereka mulai sedar semua kuasa hilang secara perlahan-lahan, PTPTN dan hal ehwal bumiputera gagal diuruskan.

“Mereka cuba masuk ke Sarawak untuk memecah-belahkan penduduk kampung melalui penubuhan MPKK. Maka kita hendaklah jaga kawasan masing-masing.

“Saya tidak bermaksud untuk menghalang mereka datang tetapi kehadiran mereka boleh memecah-belahkan perpaduan,” tegas Abang Johari.

Majlis hari ini menyaksikan sebanyak 59 urat hak milik tanah seksyen 18 kanun tanah negeri diserahkan kepada 82 orang pemilik tanah.

Bilangan itu merupakan tambahan kepada 283 surat hak milik tanah kegunaan kediaman yang telah diserahkan kepada penduduk Kampung Kudei Baru pada 16 Mac 2016. — DayakDaily