Kedai nombor ekor beroperasi semula hari ini

Kedai nombor ekor yang dibuka semula di bandar raya Kuching mulai hari ini (19 Jun).

KUCHING, 19 Jun: Kedai nombor ekor yang telah ditutup sejak Perintah Kawalan Pergerakkan (PKP) dibuka semula di negeri ini sekitar jam 9 pagi tadi.

Tinjauan hari ini di bandar raya ini mendapati orang ramai mula memasuki premis terbabit sebaik sahaja dibuka bagi membeli nombor ekor dan juga menuntut hadiah kemenangan mereka sebelum ini.

Bagaimanapun, setiap pelanggan terlebih dahulu diambil suhu mereka oleh seorang kakitangan dihadapan kedai nombor ekor terbabit yang lengkap bersarung tangan dan berpenutup muka.

Pelanggan kemudian menulis nama dan nombor telefon mereka serta  tangan mereka disembur dengan cecair sanitasi sebelum memasuki premis sama seperti yang perlu dilakukan mereka bagi memasuki premis perniagaan lain.

Kesemua kedai nombor ekor termasuk Sports Toto, Magnum dan Special Cash Sweep dibandar raya ini mengamalkan Prosedur Operasi Standard (SOP) terbabit dan pelanggan mereka juga tiada masalah mematuhinya.

Sebelum ini, Timbalan Ketua Menteri merangkap Pengerusi JPBN, Datuk Amar Douglas Uggah Embas mengumumkan operator perjudian yang telah dilesenkan oleh Kementerian Kewangan dibenarkan beroperasi mulai Jumaat, 19 Jun tertakluk kepada kepatuhan Garis Panduan yang telah ditetapkan.

Manakala di Semenanjung, operator perjudian terbabit sudah dibenarkan beroperasi mulai 17 Jun lepas. -DayakDaily >