Kebocoran paip utama punca gangguan bekalan air di Sarikei

Paip bocor punca gangguan bekalan air di Sarikei.

KUCHING, 25 Jan: Gangguan bekalan air yang berlaku di beberapa kawasan di Bahagian Sarikei bermula hari ini adalah berpunca daripada kebocoran paip utama akibat kerja-kerja pembinaan Jalan Pan Borneo.

Jabatan Bekalan Air Luar Bandar (JBALB) dalam kenyataan berkata, gangguan bekalan air ini telah menjejaskan lebih kurang 4,000 isi rumah.

JBALB telah menggesa pihak kontraktor Pan Borneo untuk menyiapkan kerja-kerja tersebut dengan segera pada hari ini.


Ia bagi mengurangkan impak besar gangguan bekalan air kepada para pengguna di kawasan-kawasan yang terjejas.

Kawasan-kawasan yang terjejas adalah kawasan Jalan KJD Meradong, Skim B, seluruh kawasan Pakan (kecuali Pekan Pakan), sepanjang Jalan Bulat dari Sg. Rusa sehingga Sg. Joh, Kesa Baron, Kesa, Jalan Onn Dian, Sg. Garan, Jalan Friendship, Jalan Cola, dan Simpang Pakan.

Manakala kawasan-kawasan yang tiada dalam senarai dijangka mengalami tekanan air rendah.

Segala perkembangan terkini akan sentiasa dimaklumkan kepada pengguna melalui platform sosial media JBALB Sarawak.

Para pengguna juga boleh menghubungi JBALB Call Centre di talian 082-262211 untuk mendapatkan maklumat dan informasi terkini. — DayakDaily